KUCHING, 07 Dis: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM500,000 untuk pelaksanaan 363 program Kejiranan Mesra Dewan Bandaraya Kuching Utara pada tahun 2023.
Menurutnya, tambahan peruntukan berkenaan bertujuan untuk menjadikan penganjuran program berkenaan pada tahun hadapan lebih meriah seiring dengan sambutan ulang tahun ke-60 pembentukan Malaysia yang disertai oleh Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
“DBKU ada RM 400,000 lebih untuk penganjuran progam ini. Dr Abdul Rahman memberitahu saya dana itu masih tidak mencukupi kerana peruntukan yang diperlukan sekitar RM 900,000 oleh itu (hari ini) saya menambah RM 500,000 untuk kita semua mengadakan program ini sepanjang tahun 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam Kejiranan Mesra (KJM) 2022, di sini pada Selasa.
Sementara dalam ucapannya, beliau mendedahkan banyak kawasan di sekitar bandar raya ini telah dinaik taraf kemudahan dewan seperti di kawasan Samariang.
Selain itu, Abang Johari memberitahu beberapa kemudahan pada bangunan-bangunan baharu turut dinaik taraf seperti gelanggang badminton dan auditorium.
“Tidak lama lagi di sana juga kita akan ada rumah baharu untuk Yayasan Budaya Melayu di kawasan Santubong menuju Jalan Sultan Tengah akan kita naik taraf. Pertama, jalan di antara kawasan simpang Yayasan Sarawak, Wisma Adenan hingga ke Damai,
“Jalan tersebut akan dinaik taraf menjadi jalan berkembar (dual carriageway) dan akan ada lorong untuk basikal. Kerja ini akan bermula pada tahun hadapan. Bermakna kita akan ada jambatan tambahan di Sungai Santubong,” ujarnya.
Rakyat Sarawak bakal menyaksikan beberapa lagi pembangunan ujarnya yang akan dibawakan oleh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada tahun hadapan. – TVS