Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Hafidz Rohani (tengah hadapan) bersama ahli DUBS dan badan kerjasama masjid At-Taqwa. Foto: DUBS

Karnival Geng Masjid di Miri pada 17 dan 18 Disember ini

MIRI, 7 Dis: Karnival Geng Masjid bakal menemui warga Miri buat kali pertama pada 17 dan 18 Disember ini di Masjid At-Taqwa Miri.

Sebelum ini, karnival tersebut pernah diadakan di Kuching, Kota Samarahan dan yang terakhir sekali di Sibu pada tahun 2018 sebelum pandemik COVID-19 melanda.

Pada karnival kali ini, pihak Dewan Usahawan Bumiputra Sarawak (DUBS) Miri telah diberi mandat oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan sebagai badan pelaksana dengan kerjasama Manggis Group, Masjid At-Taqwa dan Pengasas Program Karnival Geng Masjid (KGM).

Menurut Pengerusi DUBS Cawangan Miri, Hafidz Rohani, karnival berkenaan akan mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan untuk penduduk setempat dan pengunjung dari luar negeri.

“Selain itu program ini akan memberi peluang perniagaan kepada peniaga-peniaga tempatan untuk terlibat pada karnival ini dan meningkatkan lagi jualan mereka dengan pengunjung yang hadir dari sekitar kawasan Miri dan pengunjung dari Brunei,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media Karnival Geng Masjid di Masjid At-Taqwa di sini, pada Selasa.

Tambahnya, beliau menyasarkan sebanyak 5,000 pengunjung hadir ke karnival tersebut dengan mengambil kesempatan akan musim cuti sekolah pada bulan ini serta sempadan Brunei yang ditutup lewat iaitu pada pukul 10 malam.

“Sekarang ini cuti sekolah akan bermula pada hari Jumaat ini hingga 2 Januari. Jadi pada cuti sekolah ini, kita mahu mengisi aktiviti-aktiviti untuk industri perlancongan tempatan.

“Kita juga sasarkan untuk pengunjung Brunei datang. Sekarang ni sempadan Brunei tutup pukul 10 malam, jadi saya rasa banyak masa untuk mereka datang ke Miri untuk menyertai karnival ini,” ujarnya lagi.

Antara program yang diadakan di Karnival Geng Masjid itu adalah seperti pertandingan azan peringkat sekolah rendah dan menengah, pertandingan mewarna, program dakwah, forum perdana hal ehwal Islam pada malam 17 Disember dan juga perkongsian informasi Umrah.

Sebanyak 30 gerai jualan juga dibuka sepanjang karnival ini diadakan bagi memeriahkan suasana di kawasan parkir Masjid At-Taqwa.

Karnival ini juga akan menampilkan pendakwah dan selebriti terkenal seperti penyanyi nasyid Fakhrul UNIC, Ustaz Tarmizi dan Ustazah Farhatul Fairuzah. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan