KULIM, 6 Dis: Permuafakatan besar yang membentuk Kerajaan Perpaduan diterajui Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) serta beberapa parti komponen lain harus dipertahan dan dikekalkan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama antara gabungan parti politik yang terlibat harus dikekalkan untuk tempoh yang lebih lama berbanding lima tahun demi mencapai Malaysia yang gemilang.
“Insya-Allah kerjasama ini bukan lima tahun, bukan 10 tahun, bukan 15 tahun, atas keikhlasan kita akan bekerjasama dalam satu pasukan sebagai permuafakatan besar.
“Antara parti-parti yang bergabung untuk membentuk sebuah negara yang lebih gemilang dan saya amat yakin jika trend ini dapat kita pertahankan, jika penyatuan dan perpaduan ini dapat kita teruskan, insya-Allah Malaysia akan lebih gemilang,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikan ketika berucap pada program Ceramah Mega Ayuh Malaysia sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai di sini, malam tadi.
Menurut Ahmad Zahid, beliau yakin menerusi pentadbiran Kerajaan Perpaduan, ekonomi negara akan menjadi lebih baik sekali gus mampu mengatasi masalah kos sara hidup rakyat selain memberi keyakinan kepada pelabur asing untuk datang ke negara ini.
Sementara itu, beliau berkata, sekiranya usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Parlimen nanti dapat diluluskan, maka Kerajaan Perpaduan yang didukung oleh semua kaum akan menjadi kerajaan yang paling mantap dalam sejarah politik negara.
“Politik baharu bukan politik perkauman, politik baharu bukan politik agama, politik baharu di Malaysia perlukan landskap baharu dengan semua bangsa, semua agama, semua keturunan, semua budaya bangsa bersatu sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyeru pengundi di Padang Serai supaya memilih calon PH Dr Mohamad Sofee Razak pada hari pengundian Rabu ini bagi memastikan wakil rakyat di kawasan itu ‘sealiran’ dengan kerajaan pusat.
Turut hadir pada program itu Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Ketua Setiausaha PH merangkap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. -TVS