PUTRAJAYA, 5 Dis: Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof mahu memfokuskan pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk merapatkan hubungan antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, inisiatif merapatkan jurang kemudahan dan pembangunan di Sarawak dan Sabah, turut menjadi perhatian utamanya setelah digalaskan kepercayaan sebagai Timbalan Perdana Menteri dari Borneo.
Beliau berkata, ia antara perkara yang diamanatkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepadanya, pada mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan yang diadakan di sini hari ini, pertemuan pertama kesemua Jemaah Menteri setelah mengangkat sumpah jawatan pada 3 Disember.
“Saya kira kita patut fokus jurang dari segi hubungan antara tiga wilayah (Sarawak, Sabah dan Semenanjung), supaya dapat kita rapatkan.
“Ini supaya semangat betul-betul sebagai warga Malaysia dapat diwujudkan, bukan lagi berdasarkan wilayah tetapi bagaimana kita dapat asimilasikan, supaya nilai norma dan budaya ini dapat diterjemahkan sebagai warga Malaysia,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini untuk memulakan tugas secara rasmi.
Fadillah berkata tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri yang mewakili wilayah Borneo merupakan satu tugas yang besar dan perlu digalas sebaiknya.
“Harapan dari Borrneo agak tinggi. Sudah pasti saya kena galas tugas ini dan saya perlukan kerjasama bukan sahaja dari Ahli Parlimen Borneo, kita kena bersama semua Ahli Parlimen untuk kita lihat macam mana kita dapatkan rapatkan jurang tiga wilayah,” katanya.
Mengenai mesyuarat khas Kabinet hari ini, Fadillah berkata Perdana Menteri memperjelaskan hala tuju yang perlu dilaksana oleh Jemaah Menteri, serta urusan kerja yang perlu dilakukan terutamanya dalam menangani cabaran kos sara hidup.
“Kita pastikan kita dapat gerakkan jentera kerajaan bersama Kabinet, supaya kita dapat urus tadbir sebaik mungkin,” katanya.
Fadillah turut memaklumkan Mesyuarat Kabinet sebenar akan diadakan pada Rabu, bagi memperjelaskan fungsi setiap kementerian.
“Kita ingin tangani pertindihan, supaya dengan jelas nanti kerana kos sara hidup libatkan banyak kementerian,” katanya.
Fadillah mengimbas kad perakam di Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Perdana Putra pada kira-kira 12.04 tengah hari, selepas menghadiri mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan dipengerusikan Anwar.
Beliau sebelum itu hadir ke Kementerian Perladangan dan Komoditi di sini pada kira-kira 8.30 pagi, serta diberi taklimat mengenai kementerian itu.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu ialah seorang daripada dua Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan selain Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang diumumkan perdana menteri pada Jumaat lepas. -TVS