Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, hasil serbuan turut membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah bernilai RM643,157.16. Foto: TVS

Polis Sarawak tumpas sindiket pengedaran dadah terbesar di Sibu

SIBU, 4 Dis: Polis Sarawak menumpaskan sindiket pengedaran dadah dipercayai antara yang terbesar pada tahun ini dengan hasil serbuan membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah bernilai RM643,157.16.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, serbuan dibuat pada Khamis lalu telah menahan seorang lelaki di sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Bunga Raya membawa kepada penemuan di sebuah pangsapuri di Lorong Sena di sini.

Menurut Mohd Azman, serbuan kira-kira jam 7.30 malam itu dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu-pejabat Polis Kontinjen Sarawak susulan maklumat risikan hasil aduan awam.

Tambahnya, sebuah kenderaan jenis Nissan Navara dianggarkan bernilai RM55,000 turut disita di bawah Seksyen 25 Akta Dadah (Perlucuthakan hHarta) 1988.

“Antara pelbagai jenis dadah yang dirampas termasuk 5,940.11 gram Syabu (Methamphetamine), 4,407.24 gram Ketamin, 1,830 gram Erimin 5, 225 gram serbuk jus Ecstasy, 760 gram pil Ecstasy dan 960 gram ‘Magic Mushroom’ atau Psilocybin yang mana keseluruhan rampasan dadah tersebut boleh digunakan oleh seramai 50,423 orang atau 50,423 kali penggunaan, katanya pada sidang media di Wisma Pengaman Ibu-pejabat Polis Daerah Sibu, hari ini.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing suspek yang merupakan penganggur berasal dari Sibu juga didapati positif Amphetamine/Methamphetamine.

Suspek juga mempunyai tiga rekod dadah lampau dibawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 12(2) akta yang sama dan pernah menjalani hukuman penjara tiga kali pada 2014 dan 2017 dan dua tahun pengawasan pada tahun 2018.

“Modus operandi sindiket terbabit bergiat aktif dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar Sibu, Kuching, Bintulu dan Miri di mana bekalan dadah diperoleh daripada pengedar dadah di Semenanjung Malaysia melalui perkhidmatan kurier,” katanya

Katanya, suspek menjadikan sebuah rumah pangsapuri sebagai stor penyimpanan dadah serta tempat pembungkusan semula dadah kepada paket yang lebih kecil.

Mohd Azman menambah suspek yang terlibat dalam kegiatan dadah sejak dua bulan yang lalu menerima upah RM1,000 seminggu dan penghantaran dilakukan melalui kiriman bas express ke Bintulu, Miri dan Kuching.

Jelasnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak, suspek akan dikenakan tidak kurang 15 sebatan bagi kesalahan Seksyen 39B ADB 1952.

Manakala hukuman penjara tidak lebih 2 tahun atau denda tidak lebih RM5,000 bagi kesalahan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

“Suspek kini direman mulai 3 hingga 7 Disember bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, katanya JSJN PDRM Sarawak telah merekodkan sejumlah 8,478 orang tangkapan termasuk 692 orang tokan dadah dan rampasan dadah yang dianggarkan bernilai RM10,440,052.00 bagi tempoh Januari hingga November 2022,

Mohd Azman menambah, Polis Diraja Malaysia khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan terus komited membanteras habis-habisan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah bagi memastikan negara dan masyarakat kekal selamat, aman dan sejahtera.

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah boleh disalurkan menerusi Whatsapp hotline JSJN PDRM di talian 012-2087222. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan