Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sebanyak 65 pasukan mengesahkan penyertaan bagi merebut kejuaraan dalam Kejohanan Tarian Naga dan Singa Kebangsaan ke-11 (2022) yang akan berlangsung pada 16 Dis hingga 18 Dis, di Stadium Sultan Abdul Halim Alor Setar, Kedah. Foto: Bernama

65 pasukan rebut kejuaraan Kejohanan Tarian Singa dan Naga Kebangsaan 2022

ByBernama

KUALA LUMPUR, 4 Dis: Sebanyak 65 pasukan mengesahkan penyertaan bagi merebut kejuaraan dalam Kejohanan Tarian Naga dan Singa Kebangsaan ke-11 (2022) yang akan berlangsung pada 16 hingga 18 Dis, di Stadium Sultan Abdul Halim Alor Setar, Kedah.

Daripada 65 pasukan itu, seramai 400 atlet dari 12 negeri akan berentap dalam lapan kategori iaitu Tarian Singa Lutsinar, Tarian Singa Tradisional, Tarian Singa Akrobatik Atas Tiang, Tarian Naga Akrobatik, Tarian Naga Lut sinar, Tarian Singa Bei Shi, Tarian Naga Pecut dan Tarian Singa Berhalangan.

Negeri terlibat ialah Johor, Melaka, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Kelantan, Pahang, Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Pengerusi Persekutuan Tarian Naga dan Singa Malaysia Datuk Martin Lim Soon Seng berharap kejohanan ini mampu melahirkan lebih ramai atlet bertaraf antarabangsa selepas hampir dua tahun tidak dianjurkan berikutan pandemik COVID-19.

“Adalah penting untuk mengekalkan status Malaysia sebagai juara dunia, kerana Malaysia jugalah kami dikenali sebagai pengasas dalam membangunkan tarian singa ini dan kami juga menjadi juara dalam tarian singa di seluruh dunia sejak kira-kira 15 tahun lepas.

“… dan pemenang bagi tiap kategori peringkat kebangsaan ini akan terus mewakili Malaysia di Sukan Naga dan Singa Asia yang akan diadakan di Malaysia tahun depan. Namun buat masa ini, kita belum tetapkan tarikh …berkemungkinan antara Oktober hingga November,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kejohanan berkenaan di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib berkongsi keterujaan apabila ramai persatuan sukan mula aktif menganjurkan pelbagai kejohanan untuk memastikan negara tidak kekurangan bakat yang boleh diketengahkan di peringkat antarabangsa.

“Saya gembira dapat bersama-sama pasukan naga hari ini, kita nampak mereka sudah bertambah aktif selepas pandemik COVID-19, dah mula mengadakan banyak acara dan kali ini di Kedah, dengan pemenang akan mewakili negara ke peringkat Asia pada tahun hadapan.

“Jadi saya ucapkan all the best kepada semua pasukan yang menyertai kejohanan bertaraf kebangsaan ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Nazifuddin berharap barisan MOM dapat bertemu Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang kini menerajui portfolio Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam masa terdekat bagi membincangkan hala tuju atlet bagi tahun hadapan.  – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan