SIBU, 4 Dis: Penganjuran Sibu International Bike Week membawa keuntungan kepada peniaga kecil tempatan di sini, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menurutnya, festival berkenaan bukan sahaja dimanfaatkan oleh peserta tempatan yang hadir malahan turut disertai oleh peserta dari luar negara.
“Saya percaya festival seperti ini membawa keuntungannya seperti dari segi keusahawanan, jualan dan sebagainya kerana ramai pelanggan yang datang untuk membeli ketika mereka menghadiri festival ini untuk berhibur,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Ulang Tahun ke-10 Sibu International Bike Week di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 2, di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau menyatakan pihak kementeriannya sentiasa bersedia membantu pihak penganjur dalam memastikan festival tersebut dianjurkan pada tahun mendatang.
Beliau turut menzahirkan tahniah kepada pihak penganjur atas ulang tahun Sibu International Bike Week yang ke-10 pada tahun ini.
“Sibu International Bike Week adalah festival motorsikal berkuasa tinggi yang terbesar di Sarawak. Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada penganjur Razz Cooper dan penganjur lain untuk ulang tahun Sibu International Bike Week yang ke-10. Ini adalah tahun ke-10 ia diadakan dan telah dijayakan dengan cukup baik sekali,” katanya lagi.
Beliau yakin mereka yang menggemari motosikal berkuasa tinggi bukan sahaja dari Sarawak, namun juga dari negara jiran terdekat yang menyertai festival tersebut dapat menikmati dan meneroka keindahan serta keunikan bandar Sibu. – TVS