KUALA LUMPUR, 4 Dis: Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Hannah Yeoh bakal berdepan cabaran besar dalam menerajui kementerian itu, ketika tahap prestasi dan politiking dalam arena sukan dilihat tidak begitu memberangsangkan pada masa ini.
Ahli Parlimen Segambut itu yang mengangkat sumpah sebagai menteri semalam, perlu segera belajar dan menyesuaikan diri dengan sistem sukan, selain berusaha menyingkirkan politik dalam persatuan sukan kebangsaan (NSA) dan fokus terhadap kebajikan atlet demi kejayaan lebih besar terutama dalam memenangi pingat emas Olimpik pertama di temasya Paris 2024.
Bekas atlet gimnas berirama dan pemenang pingat emas Sukan Komanwel 1998, Sarina Sundara Rajah berkata, sesuatu yang menarik untuk melihat bagaimana Hannah yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu, akan mengemudi portfolio baharunya.
Beliau berharap menteri itu dapat memperjuangkan perkara seperti Sukan Selamat, sukan wanita dan sukan peringkat akar umbi, di samping terus mengutamakan keselamatan atlet dan membentangkan Akta Sukan Selamat di Parlimen dalam masa terdekat.
“Hannah telah menjalankan tugasnya dengan baik dalam kementerian sebelum ini dan lantang memperjuangkan Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual. Saya berharap beliau menyedari keperluan untuk bertindak segera terhadap Akta Sukan Selamat yang merangkumi semua jurang dan ketidakselarasan dalam Kanun Keseksaan, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak, dan Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual,” katanya kepada Bernama.
Hannah, 43, merupakan wanita kedua yang pernah mengetuai kementerian itu sejak 1964, selepas Datuk Seri Azalina Othman Said pada 2004 hingga 2008.
Sarina menegaskan usaha yang telah dilakukan dalam bidang seperti membangunkan Kod Sukan Selamat dan mewujudkan Pusat Sukan Selamat untuk memastikan atlet mampu cemerlang dalam persekitaran sukan yang bebas daripada penderaan, perlu diteruskan.
“Adalah penting untuk mempunyai sistem yang bebas dan efektif bagi memastikan inisiatif pencegahan dan intervensi dapat direalisasikan sepenuhnya.
“Saya tahu beliau mempunyai minat yang mendalam terhadap kanak-kanak kerana beliau bekerja di kementerian berkaitan sebelum ini, tetapi dalam sukan menguruskan hal penderaan adalah unik. Saya berharap kementerian akan terus melibatkan seluruh komuniti sukan dalam usaha kita mewujudkan persekitaran Sukan Selamat,” katanya.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk M. Jana Santhiran dilaporkan berkata, jumlah kes penderaan dan gangguan seksual dalam sukan membimbangkan.
Sementara itu, Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill yakin bahawa Hannah akan menjalankan peranannya dengan berkesan dan membawa sukan Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.
“Menjadi harapan kami untuk menteri sendiri terlibat dengan NSA bagi memastikan ia terus ke hadapan. Kami juga mengalu-alukan penglibatan beliau terutamanya dalam persiapan ke arah Paris 2024 dan berharap dapat melakukan kunjungan hormat ke atas beliau dalam masa terdekat ini,” katanya. -TVS