KOTA KINABALU, 30 Nov: Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn. Bhd. (SOGDC) menjalin kerjasama dengan Esteel Enterprise Sabah Sdn. Bhd. (ESTEEL) dalam projek pembuatan besi membabitkan nilai pelaburan hampir RM20 bilion.
Pengerusi SOGDC, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, projek tiga fasa itu dijangka menjana pertumbuhan ekonomi yang besar kepada masyarakat setempat melalui penciptaan lebih 30,000 peluang pekerjaan.
Menurutnya, kerjasama itu menyasarkan pembangunan keseluruhan rantaian keluli hijau dan teknologi hijau bagi mengurangkan pelepasan karbon global antara tujuh hingga lapan peratus.
“Syarikat ini akan melabur sebanyak USD4.39 bilion atau hampir RM20 bilion.
“Saya rasa ini merupakan antara pelaburan yang terbesar pernah disaksikan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) Bagi Projek Green Steel di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) yang disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Katanya, SOGIP bakal menjadi penanda aras baharu dalam pembangunan perindustrian di Sabah dan akan menjadi destinasi pilihan pertama bagi pelabur-pelabur di rantau Asia dan juga Asia Tenggara. -TVS