Aziz Tambi, 62, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Tanjung Minyak, Bukit Rambai kira-kira 2.30 petang pada 18 Jun 2022.
Pertuduhan adalah di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama yang membawa hukuman denda tidak kurang RM20,000 atau maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon jaminan sebanyak RM20,000 namun peguam tertuduh Mohd Ishak Kari merayu agar jaminan dikurangkan kerana Aziz hanya bekerja kampung dengan pendapatan sekitar RM50 sehari.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Terdahulu di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Aziz mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nabilah Nizam atas pertuduhan memiliki selaras senapang angin tanpa lesen pada jam 8 malam di tempat dan tarikh yang sama.
Dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin dan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin.
Serahan dokumen bagi kedua-dua kes ditetapkan 11 Jan tahun depan. -TVS