KUCHING, 30 Nov: Anak muda khususnya pelajar lepasan universiti disaran untuk bergiat aktif sebagai pemandu pelancong secara sambilan.
Cadangan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah itu bertujuan untuk membantu golongan berkenaan mencari duit poket sementara menunggu pekerjaan tetap yang lain.
Setakat ini menurut beliau jumlah pemandu pelancong di negeri ini hanya memadai, namun baginya lagi kelompok tersebut mesti berkualiti bukan sahaja boleh memberi maklumat mengenai tempat-tempat menarik kepada pengunjung.
“Saya rasa, mereka yang sudah pencen atau bersara mahupun anak muda lepasan universiti boleh menjadi sebahagian daripada pemandu pelancong ini. Sebab saya rasa di sini (Sarawak), jarang kita lihat mereka ini melibatkan diri dalam bidang ini.”
“Kalau kita ke luar negara, mereka inilah yang banyak menjadi pemandu pelancong,” katanya pada sidang media selepas ucapan penggulungannya pada persidangan hari Ke-7 Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini, hari ini. -TVS