KUCHING, 30 Nov: Muzium Budaya Borneo (BCM) mencatat seramai 490,577 pengunjung setakat 26 November tahun ini, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata, sejak dibuka kepada orang ramai, jumlah harian tertinggi pelawat yang dicatatkan adalah sekitar 7,671 orang pada 4 Jun lepas.
“Sambutan amat menggalakkan sejak ia mula dibuka kepada orang ramai dan rakyat Sarawak juga berbangga kerana mempunyai sebuah muzium bertaraf dunia yang mempamerkan budaya dan sejarah mereka.
“Malah, pada 29 Mac lepas Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah juga berkenan melawat muzium ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan kementeriannya pada persidangan hari ketujuh Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 hari ini.
Abdul Karim berkata, BCM juga telah menerima Anugerah Emas Majlis Pelancongan Malaysia untuk Muzium Tahun 2022 pada 22 Oktober yang lepas.
Untuk rekod, muzium tersebut, merupakan muzium terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di Asia Tenggara dengan ruang pameran berkeluasan lebih daripada 6,000 meter persegi dengan keseluruhan keluasan lantai lebih kurang 31,000 meter persegi.
Muzium ini mempamerkan objek mengenai sejarah semula jadi, arkeologi, budaya yang ada di Sarawak, galeri kanak-kanak dan juga galeri seni dan kraf.
Selain itu, ia turut dilengkapi dengan kandungan digital bagi meningkatkan interaksi antara pameran dan pelawat agar kekal relevan dengan perkembangan global.-TVS