KUCHING, 30 Nov: Purata permintaan bekalan elektrik ke Kalimantan sehingga September 2022 adalah berjumlah 89.6 Megawatt (MW).
Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi, bekalan elektrik disalurkan ke Kalimantan bertujuan untuk mengurangkan risiko melalui kepelbagaian portfolio pasaran.
“Selaras dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi pusat kuasa tenaga di Asia Tenggara menjelang 2030 serta mengurangkan risiko melalui kepelbagaian portfolio pasaran (market portfolio diversification), Kementerian ini melalui Sarawak Energy telah pun membekalkan elektrik ke Kalimantan sejak 2016,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Penggal Pertama Dewan Undanga Negeri (DUN) Sarawak di sini, pada Selasa.
Selain itu, pembekalan elektrik sebanyak 30MW ke Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) adalah disasarkan pada tahun 2024 bergantung kepada siapnya projek Northern Grid Extension.
Jelasnya, bekalan elektrik ke Sabah masih lagi dalam peringkat rundingan komersial.
Tarif yang dikenakan ke atas tenaga yang dieksport ini adalah lebih tinggi daripada tarif kegunaan tempatan. – TVS