Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi.

Pelan Induk Pembangunan Elektrik Luar Bandar, perkasa bekalan elektrik luar bandar

BySalasiah Safian

KUCHING, 29 Nov: Dalam memperkasakan bekalan elektrik luar bandar, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi melalui agensi pelaksana, Sarawak Energy, telah merangka Pelan Induk Pembangunan Elektrik Luar Bandar 2030.

Menterinya, Datuk Julaihi Narawi berkata pelan ini dirangka dengan mengenal pasti kawasan yang menggunakan sistem kendiri (stand alone system) yang akan mempunyai jalan akses dalam tempoh tersebut untuk disambungkan ke grid elektrik. 

“Inisiatif ini adalah selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dalam memenuhi keperluan tenaga elektrik sebagai salah satu pemangkin pembangunan ekonomi Sarawak,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Mengenai liputan bekalan elektrik di luar bandar di Sarawak, beliau berkata ia kini mencapai tahap 97.1 peratus.

Pada 2019 kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM2.37 bilion untuk mempercepatkan program elektrifikasi luar bandar di bawah projek rakyat.

Semenjak itu, sejumlah 23,319 isi rumah dibekalkan dengan bekalan elektrik 24 jam sehingga suku ketiga 2022.

Angka ini menunjukkan peningkatan berbanding 2021 iaitu sebanyak 20,445 isi rumah, 14,408 isi rumah pada 2020 dan sebanyak 7,798 isi rumah pada 2019.

Beliau turut menganggarkan 11,700 isi rumah di luar bandar belum mendapat bekalan elektrik di kawasan luar bandar.

Sehubungan itu, sambungan talian grid akan dipanjangkan ke kawasan luar bandar yang mempunyai jalan akses.

“Sistem kendiri (sistem off-grid) melalui hibrid dan Skim Elektrifikasi Luar Bandar Alternatif Sarawak (Sarawak Alternative Rural Electrification Scheme – SARES) sedang dan akan diteruskan untuk kawasan luar bandar yang tidak mempunyai jalan akses.

“Program SARES yang telah berjaya dilaksanakan adalah di Long Busang di Ulu Belaga, Rumah Lawai di Sebauh, Long Suling di Miri, Rumah Nading di Kapit, Rumah Lusi di Song dan banyak lagi,” katanya.

Pelaksanaan lima fasa projek SARES di kawasan terpencil ini telah memberi manfaat kepada 12,215 isi rumah di 408 buah kampung serta rumah panjang.

SARES fasa keenam di bawah peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) kini dalam fasa pelaksanaan yang melibatkan 141 buah kampung dan rumah panjang dan memberi manfaat kepada 2,863 isi rumah.

Setakat ini, pelaksanaan projek ini adalah pada tahap 85.1 peratus dan dijangka siap pada suku pertama tahun 2023. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan