KUCHING, 29 Nov: Para pengguna domestik, komersial dan industri boleh membuat permohonan untuk menjana elektrik sendiri di bawah Skim Pemeteran Tenaga Bersih (Net Energy Metering – NEM).
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, skim NEM ini akan memberi peluang kepada para pengguna memainkan peranan penting dalam pemuliharaan alam sekitar serta menangani kesan perubahan iklim.
“Setakat ini dua pengguna di bawah Skim NEM telah beroperasi manakala tiga lagi permohonan masih dalam proses kelulusan.
“Saya menyeru sekali lagi kepada semua wakil rakyat mengambil bahagian dan mewar-warkan serta menggalakkan pengguna domestik di kawasan DUN masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Dalam pada itu tambahnya, permohonan tersebut boleh dibuat di kaunter perkhidmatan pelanggan Sarawak Energy. – TVS