LIMBANG, 28 Nov: Bomba Zon Tujuh Limbang sentiasa dalam keadaan siap-sedia menghadapi sebarang bencana melalui operasi menyelamat demi keselamatan masyarakat di daerah Limbang dan Lawas.
Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang, Penguasa Bomba Awangku Mohd Hazmin Awang Zainal berkata, sebagai sebuah pasukan keselamatan yang sentiasa berada di barisan hadapan, aspek kesiapsiagaan sentiasa diperkasa sepanjang masa.
Beliau berkata, meskipun berdepan detik sukar berdepan situasi tidak dijangka, aspek kesiapsiaagaan, latihan dan segala aset dan logistik sentiasa dipastikan dalam keadaan baik.
“Pada masa sama kita terus menjalin kerjasama padu dengan Pejabat Residen dan Pejabat Daerah dalam aspek pengurusan bencana agar ia dapat diselaraskan dengan cepat dan pantas.
“Sepanjang 21 bulan saya bertugas di Zon Tujuh Limbang iaitu menjaga Limbang dan Lawas sebagai Ketua Bomba pelbagai cabaran telah saya hadapi, contohnya seperti aktiviti menyelamat orang hilang, terutama sekali dalam bahagian bencana kita sangat fokus membantu Pejabat Residen dan Pejabat Daerah Limbang serta Lawas untuk memastikan keselamatan penduduk di bahagian ini.
“Selain itu, banyak kejayaan telah dicapai dan dalam proses perlaksanaan seperti mendapatkan bot bagi tujuan operasi dan kita berjaya mendapatkan tempat penurunan bot di bahagian Limbang,” katanya ketika ditemui TVS pada Majlis Apresiasi dan Majlis Jasamu Dikenang Ketua Zon Tujuh Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wilayah Sarawak malam tadi.
Beliau berkata, lagi pihaknya turut memperkukuh kerjasama dengan komuniti setempat khususnya melalui peranan Penubuhan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dalam operasi penyelamatan.
Mohd Hazmin mula berkhidmat sebagai Ketua Zon Tujuh Limbang pada Januari 2021 dan akan memulakan tugas baharu sebagai Ketua Bahagian Penyiasatan Kebakaran, JBPM Zon Miri hujung November ini.-TVS