Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab. Foto TVS.

Lebih ramai wakil rakyat Sarawak diharap dilantik anggotai Kabinet

SARIKEI, 27 Nov: Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab berharap lebih ramai wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) wajar dipertimbangkan ke jawatan pentadbiran Kerajaan Perpaduan berikutan jumlah besar mereka memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan itu terpulang kepada kebijaksanaan Perdana Menteri dan pihaknya menyokong apa sahaja keputusan demi keharmonian serta kestabilan negara.

“Saya berharap ramai wakil-wakil rakyat Parlimen daripada Sarawak akan dipilih untuk menganggotai Kabinet yang bakal dibentuk nanti, sebab kita menyumbang 23 kerusi atau 23 wakil rakyat dalam Kerajaan Perpaduan ini, jadi kita harap ramailah wakil rakyat daripada Sarawak akan menjadi Menteri atau Timbalan Menteri dalam Kabinet,” katanya ketika ditemui media di Sarikei semalam.

Beliau berkata, langkah itu amat penting kerana Sarawak masih memerlukan pembangunan khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Sehubungan itu, beliau juga berharap kesepakatan dalam pembentukan sebuah kerajaan benar-benar mapan yang berupaya membawa hala tuju negara ke arah lebih aman dan harmoni.

“Seperti mana yang kita tahu Sarawak dan Sabah masih memerlukan pembangunan. Jadi sekiranya menteri tersebut daripada Sarawak yang menerajui beberapa kementerian penting terutama sekali ke arah pembangunan luar bandar, jadi ini akan menambah dan merancakkan lagi pembangunan di Sarawak dan Sabah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, GPS mengukuhkan kedudukannya di Dewan Rakyat selepas memenangi 23 kerusi pada PRU-15.

Jumlah itu ternyata melepasi 19 kerusi yang dimenangi ketika GPS, yang terdiri daripada empat parti bertanding di bawah Barisan Nasional (BN) dalam PRU-14 pada tahun 2018.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan