KUCHING, 25 Nov: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD) Sarawak menyasarkan golongan petani B40 memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM6,000 menjelang 2030.
Menterinya, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata sasaran tersebut tidak mustahil untuk dicapai memandangkan hasil sektor pertanian kini semakin senang untuk dipasarkan.
“Sasaran kita untuk Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 ialah golongan petani B40 dapat meraih pendapatan sekurang-kurangnya RM6,000 menjelang 2030.
“Melihat pada contoh penanaman minyak sawit, begitu ramai yang bersemangat dalam menjayakan sektor ini kerana ia boleh dipasarkan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya pada Ekspo Penternakan, Akuakultur dan Pertanian (LAA) ke-8 di sini, hari ini.
Tambah beliau, para petani juga digalakkan untuk turut serta dalam projek usaha sama sekiranya mempunyai teknologi dan pengetahuan yang terhad dalam pertanian.
“Saya galakkan para petani di Sarawak untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat yang sudah lama berkecimpung dalam bidang agrikultur kerana mereka mempunyai pengetahuan yang luas dan teknologi moden dalam usaha memajukan industri ini,” ujarnya. – TVS