KUCHING, 25 Nov: Kerajaan Perpaduan diharap mampu bergerak secara efektif dalam menangani isu dan cabaran sosioekonomi Malaysia secara menyeluruh.
Presiden Persekutuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian Datuk Richard Wee Liang Chat berkata, kerajaan baharu itu boleh mengambil negeri Sarawak dan Sabah sebagai model dalam membentuk kehidupan masyarakat yang harmoni.
“Penantian yang panjang telah berakhir… dengan kewujudan kerajaan perpaduan ini kita boleh bergerak ke hadapan bagi menangani isu dan cabaran negara.
“Sosioekonomi amat penting untuk dipertingkatkan bersama dasar pendidikan malah kehidupan pelbagai bangsa dan agama perlu dititikberatkan secara berterusan.
“Contohilah Sarawak dan Sabah sebagai model dalam menyebarkan masyarakat harmoni dalam kehidupan pelbagai kaum, agama, dan penerimaan budaya untuk Malaysia yang lebih baik dan pelbagai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Suara Sarawak ketika mengulas mengenai pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Mengulas mengenai kerajaan baharu kelak, Richard Wee berharap semua semua parti yang diberi mandat oleh rakyat menepati janji dan ikrar pilihan raya sesingkat mungkin.
Tegasnya, Sarawak semestinya ingin Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dapat dipenuhi.
“Kami di Sarawak mahu melihat MA63, hak dan autonomi diberikan semula kepada kami dan bukan sekadar bibir semata-mata,” katanya.
Beliau turut berharap agar janji kerajaan dahulu mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dapat ditunaikan dan ditangani segera. – TVS