KUCHING, 23 Nov: Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Fadillah Yusof berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempertimbangkan cadangan pembentukan kerajaan perpaduan.
Fadillah yang mengetuai tiga Ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) menghadap di Istana Negara pagi hari ini berkata lagi, Agong memberi nasihat mengapa kerajaan perpaduan perlu diwujudkan agar dapat membentuk kerajaan Persekutuan.
“Seperti yang telah dinyatakan dalam kenyataan rasmi GPS tempoh hari, kita memang berhasrat untuk menubuhkan kerajaan bersama dengan beberapa parti.
“Tetapi pada masa sama, kita juga akan patuh kepada apa jua keputusan yang akan dibuat oleh baginda,” katanya ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri Sarawak sejurus tiba dari Kuala Lumpur, hari ini.
Menurutnya, hasrat baginda telah dimaklumkan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerusi perjumpaan di Dewan Undangan Negeri Sarawak.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata Agong tidak menyatakan siapa calon Perdana Menteri dalam pertemuan itu.
Beliau bersama Setiausaha Agung GPS Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Presiden SUPP Dato Sri Richard Riot Jaem dan Naib Presiden PRS Datuk Aaron Ago Dagang, dititah menghadap Al-Sultan Abdullah pagi ini.
Pelantikan Perdana Menteri bagi pembentukan kerajaan Persekutuan masih tertangguh ekoran tidak ada parti mencapai majoriti mudah yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15. – TVS