Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang berlangsung pada 19 Nov lepas mencatatkan pelbagai sejarah dalam pilihan raya negara ini termasuk pertama kali menyaksikan Parlimen tergantung atau hung Parliament. Foto Firdaus Ismail (TVS)

Pasca PRU-15: Kerajaan minoriti jalan terbaik rungkai kemelut parlimen tergantung – Pemerhati

KUALA LUMPUR, 23 Nov: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang berlangsung pada 19 Nov lepas mencatatkan pelbagai sejarah dalam pilihan raya negara ini termasuk pertama kali menyaksikan Parlimen tergantung atau hung Parliament.

Ia berpunca daripada kegagalan parti-parti bertanding memperoleh majoriti mudah dan keengganan membentuk kerjasama sesama sendiri bagi menubuhkan kerajaan campuran, sekali gus meletakkan negara dalam keadaan terumbang-ambing tanpa pengemudi.

Hal ini  turut membawa beberapa kesan langsung termasuk sentimen negatif Bursa Malaysia dan penurunan nilai ringgit yang  pastinya akan membawa impak besar terhadap ekonomi negara sekiranya ketidaktentuan ini berterusan.

Sekiranya usaha yang diambil oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan  Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja yang dijadual mengadakan persidangan khas esok bagi merungkai simpulan kedegilan pemimpin-pemimpin politik itu masih menemui jalan buntu, pemerhati mengusulkan penubuhan kerajaan minoriti sebagai jalan penyelesaian terbaik.

 

“BY HOOK OR BY CROOK”

Mengulas usul itu, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata by hook or by crook (walau apa juga caranya), kerajaan baharu mesti dibentuk pada kadar segera daripada dibiarkan negara terus ditadbir oleh kerajaan sementara.

“Walaupun hanya kerajaan minoriti, ia dapat mengekalkan keselamatan, keamanan dan keharmonian negara, dan paling penting belanjawan negara (yang kini masih tergantung) sekurang-kurangnya dapat diluluskan,” ujarnya ketika dihubungi Bernama.

Menurut beliau, sekalipun kerajaan minoriti mempunyai banyak kelemahan, ia masih boleh berfungsi dengan baik khususnya dalam bersidang dan menentukan dasar-dasar negara yang mengutamakan rakyat.

Penubuhan kerajaan minoriti turut dipersetujui oleh Geostrategis dan Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Prof Dr Azmi Hassan.

Katanya, dalam situasi semasa, iaitu dua gabungan parti dengan kerusi Parlimen terbanyak – Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) – enggan bekerjasama, dan Barisan Nasional (BN) yang dianggap ‘kingmaker’ pula tidak mahu menyertai mana-mana gabungan bagi membolehkan pembentukan kerajaan campuran, maka kerajaan minoriti adalah jalan terbaik.

“Seperti di Kanada, ia telah melalui banyak kali kerajaan minoriti. Ketika inipun kerajaan dipimpin oleh Perdana Menteri Justin Trudeau daripada Parti Liberal masih melalui proses sama apabila Parti Liberal tidak mencukupi bilangan.  Namun, Parti Demokratik Baru (NDP) sanggup menyokong penubuhan kerajaan minoriti demi kesejahteraan rakyat Kanada.

“Maka, perkara sama saya turut sarankan kepada BN. Demi kesejahteraan negara, sokonglah mana-mana satu parti, sama ada PN atau PH, tanpa perlu berada dalam kerajaan,” katanya.

“Keputusan kini terletak di tangan BN.  Jika mereka mementingkan negara, parti itu tidak boleh membiarkan perkara ini berlarutan. Sekiranya 30 ahli Parlimen BN mementingkan agenda negara, mereka akan bersuara dengan satu suara, bermaksud mereka berada di luar kerajaan – semua orang puas hati –  tetapi menyokong satu kerajaan minoriti,” tambah beliau.

 

KEBERKESANAN KERAJAAN MINORITI

Ditanya sama ada penubuhan kerajaan minoriti dapat meredakan ketegangan politik, Azmi berkata hal itu dapat dicapai jika kerajaan yang dibentuk melaksanakan pentadbiran yang cekap seperti di Kanada.

“Kanada kekal kerana perdana menterinya adil dengan semua rakyat dan tidak berat sebelah. Begitu juga dengan kita. Walaupun (kerajaan) minoriti, jika perdana menteri nanti dan kerajaan itu adil, saya pasti yang berada di luar (pembangkang) seperti BN tetap menyokong kerajaan minoriti,” jelasnya.

Beliau juga bersetuju pendekatan Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) adalah kaedah terbaik bagi mendapatkan muafakat dalam penggubalan dasar.

“CSA adalah perjanjian meraih sokongan dalam kalangan ahli parti apabila kerajaan minoriti menggubal dasar. Menerusi CSA, ahli Dewan Rakyat boleh menyokong dan meluluskan dasar seperti belanjawan. Mereka juga boleh mengambil pendirian berkecuali asalkan dasar yang dibuat itu diluluskan,” jelas beliau.

 

PERLEMBAGAAN MEMBENARKAN

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata tidak ada halangan dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung penubuhan kerajaan minoriti asalkan perdana menteri dapat dilantik.

“Selagi perdana menteri itu dapat dilantik, maka tertakluk kepada perdana menteri itu untuk membentuk kerajaan. Tidak ada halangan dan sekatan berkaitan dengan kerajaan majoriti mahupun minoriti,” jelasnya.’

Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat tiga jenis kerajaan minoriti, iaitu yang pertama melibatkan parti dengan kerusi Parlimen terbanyak.

“PH umpamanya, mempunyai jumlah kerusi terbanyak dan parti lain bersetuju menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan PH membentuk kerajaan.

“Dalam keadaan ini, Anwar boleh melantik beberapa orang daripada parti-parti berkenaan menjadi sebahagian jemaah menteri yang membawa kepada kerajaan campuran. Maksudnya, dua atau lebih parti bergabung dan mereka menyertai kerajaan menerusi pelantikan sebagai menteri dan sebagainya,” katanya.

Kerajaan minoriti kedua pula melibatkan kerajaan perpaduan yang mana BN, kekal sebagai pembangkang dan tidak menyertai baik PH atau PN, namun menyokong perdana menteri.

“BN boleh terus menjadi pembangkang namun pada masa sama menyokong Anwar misalnya, sebagai perdana menteri.

“Dalam situasi ini juga Anwar boleh melantik seorang atau lebih ahli parlimen pembangkang menyertai kerajaannya, dan mereka (pembangkang) boleh bersetuju atau sebaliknya,” kata beliau.

Kerajaan minoriti bentuk ketiga pula adalah melalui kerajaan campuran dan perpaduan, iaitu parti yang menyokong menjadi sebahagian kerajaan campuran dan yang tidak menyokong pula di luar kerajaan namun masih menyokong dasar-dasar yang digubal kerajaan.

“Apapun dalam ketiga-tiga kes ini, ia adalah kerajaan minoriti yang boleh diwujudkan apabila tidak ada mana-mana parti yang memperoleh jumlah majoriti mudah,” katanya.

Parlimen Malaysia yang mempunyai 222 kerusi Dewan Rakyat memerlukan parti bertanding meraih sekurang-kurangnya majoriti mudah 112 kerusi. Namun pada PRU15 Sabtu lepas, tidak ada sebuah parti atau gabungan politik berjaya meraih jumlah itu.

Pada pilihan raya itu, PH memenangi 82 kerusi, PN (73), BN (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (6), Parti Warisan Sabah (3), Bebas (2) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing memenangi satu kerusi.

Susulan keputusan itu,  Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilapor menyatakan sokongan kepada kerjasama PN dan BN untuk membentuk kerajaan campuran sementara Parti Warisan Sabah (Warisan) pula memihak kepada kerjasama PH dan BN. Bagaimanapun BN memutuskan untuk tidak menyokong mana-mana gabungan dan hanya mahu berperanan sebagai pembangkang.

Landskap politik pasca-PRU15 ini menyaksikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi terpaksa menggunakan kuasa Seri Paduka Baginda untuk campur tangan.

Kali pertama Seri Paduka Baginda berkenan berbuat demikian ialah pada 2020, juga dalam situasi yang hampir sama apabila kerajaan pimpinan PH tumbang.

Bagi menyelesaikan kemelut kali ini, Al-Sultan Abdullah mencemar duli memanggil menghadap kesemua ahli Parlimen yang berkenaan hari ini.

Langkah Seri Paduka Baginda itu dipercayai bertujuan mengenal pasti seorang ahli Dewan Rakyat yang diyakini mendapat kepercayaan majoriti Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai perdana menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Esok, dipercayai Seri Paduka Baginda akan membincangkan permasalahan itu dalam mesyuarat khas Majlis Raja-Raja. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan