GEORGE TOWN, 23 Nov: Sembilan individu ditahan polis berhubung kejadian seorang lelaki warga Bangladesh yang disamun sebanyak RM14,800 di Jalan Penang di sini baru-baru ini.
Suspek berusia 30 hingga 50 tahun yang terdiri seorang lelaki tempatan serta tujuh lelaki dan seorang wanita warga Filipina ditahan di sekitar negeri ini.
Difahamkan, suspek menyamar sebagai pihak berkuasa untuk menakutkan mangsa ketika melakukan kegiatan tersebut.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kesemua suspek ditahan selepas dua hari pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan daripada mangsa.
“Suspek ditahan selepas mangsa mendakwa disamun beberapa lelaki berhampiran sebuah premis penghantaran wang.
“Hasil siasatan mendapati suspek aktif melakukan kegiatan berkenaan di negeri ini, Melaka dan Kuala Lumpur membabitkan mangsa kebanyakannya warga asing,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.
Ujar Mohd. Shuhaily, hanya suspek warga tempatan mempunyai dua rekod jenayah lampau, manakala hasil ujian saringan air kencing turut mendapati kesemua mereka negatif dadah.
Tambahnya, polis turut menyita dua buah kereta, telefon bimbit (13), beg (14), seluar (10), baju (14), kasut (10), pasport (dua), peta Pulau Pinang (dua), wang tunai RM6,265 dan matawang Peso 5,840 (RM466).
Kesemua suspek direman selama 10 hari sehingga esok bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. – TVS