Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pelantikan PM: Perbincangan Khas Agong dengan Raja-raja Melayu pada Khamis

KUCHING, 23 Nov: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara esok (Khamis).

Dato’ Sri Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata perbincangan khas itu bertujuan untuk baginda membuat keputusan dalam urusan pelantikan Perdana Menteri.

Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap wakil-wakil Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) secara berasingan di Istana Negara pada pagi hari ini.

Sesi-sesi menghadap itu adalah lanjutan daripada sesi menghadap ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) pada petang semalam.

Ini adalah susulan daripada hasil pengesahan calon-calon Perdana Menteri yang dimaklumkan oleh ketua parti-parti dan ketua gabungan parti-parti politik kepada Istana Negara semalam. Didapati tidak ada Ahli Parlimen yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

“Adalah dimaklumkan bahawa proses yang tersebut di atas adalah selaras dengan Perkara 43(2) (a) Perlembagaan Persekutuan dan bertujuan supaya baginda dapat membuat keputusan bagi melantik seorang Ahli Dewan Rakyat (Ahli Parlimen) yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Baginda sekali lagi, menyeru agar seluruh rakyat dan semua pihak untuk terus beristiqomah dan bertenang sehingga proses untuk membentuk kerajaan baharu selesai. Masa depan negara tumpahnya darah kita adalah terlalu berharga dan wajar kita rencanakan dengan penuh cermat serta teliti, jelasnya.

“Rakyat telah membuat keputusan untuk memilih wakil mereka. Maka, terserah kepada Wakil Rakyat untuk mencari penyelesaian bagi mengurai kemelut yang membelenggu rakyat jelata,” katanya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan