KUALA LUMPUR, 23 Nov: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) di lokasi strategik setiap daerah di seluruh negara bermula semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, SJR berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha untuk mencegah jenayah melalui peningkatan tahap ‘omnipresence’ polis.
“Masyarakat tidak perlu bimbang untuk menjalankan aktiviti harian kerana tahap keselamatan adalah terkawal,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau memberitahu, SJR itu merangkumi penugasan 24 jam.
“Demi keselesaan pengguna jalan raya dan kelancaran lalu lintas, tiada halangan lalu lintas atau sekatan pada waktu puncak dan siang hari,” katanya.
Justeru, beliau menyeru agar orang ramai memberi kerjasama dalam mematuhi arahan ketika melalui SJR terutama pada waktu puncak.-TVS