KUCHING, 22 Nov: Kestabilan politik merupakan satu faktor yang penting bagi menjamin perkembangan ekonomi negara, kata Felow Kanan Majlis Profesor Negara, Dato Dr Jeniri Amir.
Menurutnya, setiap kali berlaku peralihan kepimpinan, negara akan mula merasai kesan langsung dari segi pasaran Bursa Saham.
“Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri mengambil alih ekoran daripada peralihan kepimpinan sebelum ini, barulah pasaran bursa saham meningkat sedikit sebanyak 2.2 peratus.
“Kita perlu menghantar satu isyarat yang betul dan perlu menunjukkan inilah negara yang betul-betul stabil dan harmoni dari segi sosial dan mempunyai politik yang begitu mantap,’’ ujarnya menerusi program bual bicara Malaysia Decides terbitan TVS, hari ini.
Beliau turut meminta agar semua pihak bertenang, sementara kerajaan baharu belum dibentuk.
“Semua pihak perlu bertenang, perlu ambil keputusan yang tepat dan bijaksana untuk meletakkan kepentingan negara di atas kepentingan parti dan individu,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara Cawangan Sarawak (UiTMCS) Dr Nur Aida Kipli berkata, kestabilan politik perlu dipertahankan memandangkan kekalutan ini berlaku semasa musim pilihan raya sahaja.
“Kalau kita hendak berbahas mengenai kestabilan politik, sejak dahulu lagi kita amat perlukan kestabilan politik untuk kita meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara kerana ia mempunyai kaitan di antara negeri dan juga pasaran,” katanya. – TVS