KUCHING, 22 Nov: Rang Undang-Undang (RUU) Dana Kekayaan Berdaulat 2022 yang dibentangkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerusi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini, diluluskan.
RUU berkenaan dibahas oleh 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) – ADUN Daro, Safiee Ahmad, ADUN Tebedu, Dr Simon Sinang Bada, ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi, ADUN Pelagus, Wilson Nyabong Ijang, ADUN Katibas, Lidam Assan, ADUN Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, ADUN Ba’kelalan, Baru Bian, ADUN Kota Sentosa, Yap Yau Sin dan ADUN Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh.
Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru berkata, kutipan hasil negeri berasaskan komoditi terutama daripada minyak dan gas di Sarawak harus diurus dan dilabur dengan bijak.
“Bagaimanapun, punca hasil ini semakin berkurangan dan jika hasil tidak diurus dan dilaburkan dengan bijak, generasi akan datang akan kehilangan manfaat,” katanya.
Beliau menambah, ia penting untuk menukar aset tidak boleh diperbaharui ini kepada aset kewangan untuk memelihara dan meningkatkan kekayaan Sarawak.
“Akhirnya, ini akan mewujudkan Dana Endowmen untuk menjana sumber pendapatan yang mampan untuk generasi akan datang,” ujarnya. – TVS