Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Foto: Pejabat Premier Sarawak.

Abang Johari enggan ulas mengenai BN, tunggu keputusan Agong

KUCHING, 22 Nov: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg enggan mengulas tindakan lanjut yang bakal diambil mereka susulan keputusan Barisan Nasional (BN) untuk tidak menyertai mana-mana gabungan lain bagi menubuhkan kerajaan.

Ditemui pemberita selepas berakhirnya Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, beliau sekadar menafikan ada mendengar apa-apa perkembangan politik terbaharu yang berlaku di Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, sebarang tindakan yang akan diambil GPS akan bergantung kepada keputusan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Tengoklah, saya belum tahu keputusan Agong lagi. Saya tidak tahu (keputusan BN). Saya (masih) lagi di Dewan (DUN),” katanya semasa ditemui pemberita di bangunan DUN Sarawak di sini, hari ini.

Pada Ahad lepas, GPS mengumumkan persetujuan untuk membentuk gabungan bersama Perikatan Nasional (PN), BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi membentuk kerajaan Persekutuan dengan memilih Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata Dewan Tertinggi BN telah membuat keputusan untuk tidak menyokong mana-mana gabungan bagi membentuk kerajaan.

Naib Presiden UMNO itu menerusi catatan ringkas di laman Facebook memaklumkan setakat ini, BN bersetuju menjadi pembangkang.

GPS ialah gabungan empat parti tempatan Sarawak terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, GPS memenangi 23 daripada 31 kerusi Parlimen di negeri ini. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan