KUCHING, 21 Nov: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dato Anyi Ngau bagi Parlimen Baram menang dalam pertandingan tiga penjuru bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Anyi meraih 18,399 undi dengan majoriti 7,339 undi dalam pertandingan membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Roland Engan yang memperoleh 11,060 undi manakala Wilfredentika calon Bebas mendapat 324 undi.
Jumlah pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Baram ialah 59,535 orang.
Dengan kemenangan itu, GPS kini memenangi 23 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak.
Keputusan bagi Parlimen ini diketahui hari ini ekoran penggantungan proses pengundian pada 19 November lepas disebabkan cuaca tidak baik.
Sejumlah 12 pusat mengundi bagi Parlimen Baram, Sarawak dibuka sejak pagi hari ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan hari ini berkata waktu mengundi bermula dari 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari atau 2 petang, bergantung kepada pusat mengundi masing-masing.
Pusat mengundi terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Long Naah, SK Long Luteng, Rh TK Matthew Belulok Lalo, Kpg Lepo Gah, SK Long Sait, SK Long Tungan, SK Long Moh, SK Long Mekabar, SK Long Jekitan, SK Long Lamei, SK Lio Mato dan SK Long Banga.
Rh TK John Jau Wan di Long Semiang turut dibuka sebagai pusat mengundi tambahan. – TVS