SARIKEI, 20 Nov: Dato’ Sri Huang Tiong Sii berazam akan bekerja bersungguh-sungguh dan mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas peluang yang diberikan.
Tiong Sii telah memenangi kerusi Parlimen Sarikei pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mengalahkan pencabarnya, Roderick Wong Siew Lead dari Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Tiong Sii yang bertanding di atas tiket Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) meraih sebanyak 20,080 undi manakala Roderick Wong, DAP memperoleh 16,383 undi dengan majoriti 3,697 undi.
“Terima kasih kepada Premier Sarawak kerana memberi peluang kepada saya untuk pilihan raya kali ini. Saya juga ingin berterima kasih kepada Timbalan Premier, Dato’ Sri Dr Sim Kui Hian yang telah memberi kepercayaan dan peluang kepada saya,” katanya ketika ditemui media di Sarikei semalam.
Ia merupakan kejayaan pertama dan bersejarah buat GPS selepas calon sebelum ini yang bertanding di atas tiket Barisan Nasional (BN) tewas selama dua penggal.
Tiong Sii berkata, ia merupakan detik paling menggembirakan sepanjang penglibatannya dalam politik.
Beliau mengakui berdepan saingan hebat namun hasil usaha kerja keras GPS berjaya merampas semula kerusi berkenaan.
“Tidak lupa kepada rakyat di Sarikei, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua dan Yang Berhormat Ding Kuong Hiing, ahli SUPP yang telah banyak membantu saya dan rakyat Meradong. Saya akan memberikan perkhidmatan yang terbaik sepanjang lima tahun akan datang untuk rakyat Sarikei dan Meradong,” katanya lagi.
Beliau juga turut menyatakan iltizam untuk bekerja keras membela rakyat sesuai dengan perjuangannya dan slogan GPS, Utamakan Sarawak.
Pada PRU-14 yang lalu, Andrew Wong Ling Biu (DAP) menang melalui undian sebanyak 16,327 menentang Tiong Sii (BN) yang memperoleh 13,757 undi dengan majoriti 2,570 undi.
Manakala, pada PRU-13 pula, Ling Biu memenangi kerusi itu dengan undi sebanyak 505 menewaskan Ding Kuong (BN). – TVS