SIBU, 19 Nov: Pengundi belia di kawasan Parlimen Sibu teruja pertama kali merasai pengalaman sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di sini, hari ini.
Bagi Yazid Shukri, 24, berasa gementar pertama kali menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi di Pusat Mengundi Sekolah Pendidikan Khas, Jalan Bandong.
“Berasa gementar juga namun ini sudah menjadi tangggungjawab kita sebagai pengundi. Saya harap pilihan kita semua betul demi masa depan,” katanya.
Hadir bersama rakan, Ben Basyar berasa gembira selepas selesai membuang undi dan berharap wakil rakyat yang dipilih mampu membela nasib generasi muda dan mempunyai integriti yang tinggi.
“Ciri-ciri calon yang kami mahukan ialah seorang yang berintergriti tinggi, jujur, boleh diharapkan perjuangkan suara belia dan berpegang pada janji.
“Kerana itu, penting bagi kita generasi muda untuk turun mengundi, jadi kita dapat menjaga masa depan generasi muda,” katanya.
Seorang guru yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Agama Mukah Nur Irdina Ibrahim, 26, yang mengundi buat pertama kali di SK Abang Ali, Sibu ingin melihat pemimpin dapat memajukan Sarawak dalam segala aspek terutamanya aspek pendidikan.
“Sebab kami ingin pemimpin ini dapat memajukan Sarawak dari segala aspek terutamanya dari aspek pendidikan kerana kami juga seorang guru,” katanya.
Sementara itu, Nurul Hana berkongsi rasa teruja sebagai pengundi dan mengharapkan pemimpin yang dipilih seorang yang berwibawa tanpa mengira bangsa dan agama lebih-lebih lagi berkaitan isu perkauman.
“Pastikan pemimpin yang dipilih seorang yang berwibawa, bercita-cita tinggi, tidak menimbulkan isu seperti isu perkauman. Kami tidak ingin ada isu perkauman antara Cina, Melayu dan India. Kita hidup satu Malaysia,” katanya.
Untuk rekod, jumlah pengundi layak di Parlimen Sibu ialah seramai 105, 875 pada Pilihan Raya Umum Ke-15 kali ini. -TVS