Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Surat rayuan undi kepada pengundi Sarawak

PRU-15: Surat rayu undi hiasi media sosial

ByFarah Diyana Samsuddin

KUCHING, 18 Nov: Berbaki kurang 24 jam lagi hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tiba untuk mandat rakyat ‘bersuara’ memilih kepimpinan yang dimahukan untuk menerajui kerajaan Persekutuan baharu.

Menjelang esok, 19 November, pecutan terakhir ketika ini rancak berlangsung bagi meyakini para pengundi serta merayu undi agar memilih calon-calon yang bertanding.

Selain perang poster di jalanan, berkempen turut padang menemui rakyat jelata dapat disaksikan juga platform media sosial hari ini semakin meriah dihiasi surat rayu undi mereka yang bertanding termasuk calon-calon Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Paling mencuri perhatian, surat rayuan kepada pengundi Sarawak daripada Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang diutuskan hari ini, sehari sebelum hari pengundian PRU-15.

Inti pati surat Premier Sarawak itu menekankan rakyat sentiasa di hati kerajaan GPS sambil mengulangi – ini aku janji dan komitmen kami.

Surat yang mewakili hasrat beliau itu turut menyeru para pengundi untuk memilih GPS yang akan menjamin masa depan rakyat serta generasi akan datang yang lebih baik.

“GPS ikhlas dan komited dalam perjuangannya serta memahami aspirasi dan kehendak rakyat Sarawak,” ujar beliau.

Jika surat rayuan Abang Johari mewakili kepimpinan GPS, surat rayuan undi daripada Dato’ Sri Fadillah Yusof juga disiarkan sejak siang tadi.

Surat calon GPS Parlimen Petra Jaya itu berbunyi undi rakyat semua amat penting bagi menentukan hala tuju negara untuk sekurang-kurangnya lima tahun mendatang ini.

Berpaksi kepada hasrat itu, beliau merayu kepada warga Petra Jaya untuk membantu beliau memenangi pilihan raya kali ini agar sekali lagi dapat menabur bakti kepada masyarakat.

“Bantu saya untuk menang pilihan raya ini untuk saya bantu warga Petra Jaya dan membawa suara Sarawak yang lebih lantang ke Putrajaya,” tegasnya.

Fadillah juga mengulangi sebelum ini banyak hak Sarawak telah berjaya diperjuangkan oleh GPS namun masih juga ada lagi beberapa perkara yang sedang serta akan diperjuangkan oleh gabungan itu.

“GPS adalah gabungan parti tempatan sepenuhnya yang mengutamakan Sarawak dengan slogan ‘Sarawak First’,” ujarnya.

Seterusnya, pemerhatian penulis juga mendapati sekitar tiga jam lagi tempoh merayu undi tamat pada jam 11.59 malam nanti, turut menyaksikan surat rayuan undi daripada calon GPS bagi Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni disiarkan oleh beliau sendiri menerusi satu hantaran di akaun Facebooknya.

“Bantu saya untuk kembali semula ke Parlimen bagi memperjuangkan isu berkaitan pendidikan terutama sekolah daif, perkhidmatan dan infrastruktur kesihatan, pembangunan luar bandar, melebarluas telekomunikasi, keselamatan sempadan dan lautan Sarawak serta isu berhubung kait dengan keperluan pembangunan di kawasan Parlimen Sibuti,” rayunya.

Lukanisman juga berikrar akan memberi komitmen serta berkhidmat dengan baik untuk warga Sibuti sambil meyakini beliau mampu menyantuni semua lapisan umur dan kaum di kawasannya.

Manakala bagi muka baharu yang diperkenalkan GPS, calon Batang Sadong, Rodiyah Sapiee meminta rakyat membuat pilihan yang tepat demi menjamin ksejahteraan, kemakmuran, kestabilan dan kegemilangan Sarawak serta Malaysia yang tercinta.

“Semua pengundi diseru supaya datang awal, bawa kad pengenalan, berpakaian kemas dan pangkahlah Calon No.1 dalam kertas undi iaitu calon GPS, Rodiyah Sapiee,” rayunya dalam surat rayuan untuk warga Batang Sadong yang dikeluarkan sekitar satu jam sebelum tempoh kempen berakhir.

Bagi penulis, pelbagai versi dan ragam kempen untuk meraih serta memancing undi pada pilihan raya kali ini. Walaupun karenah di seberang (Semenanjung Malaysia) agak cacamarba, namun di Sarawak nada ‘Utamakan Sarawak’ sedang di hadapan serta menyantuni rakyat penuh hemah.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan