LUNDU, 18 Nov: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) merupakan platform untuk rakyat membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi lebih kuat.
Maka dengan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N3 Tanjong Datu Azizul Annuar Adenan menyeru rakyat di negeri ini terutama dikawasannya untuk turun beramai-ramai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada esok hari, 19 November.
“Undi kita esok hari akan membuktikan kekuatan GPS pada PRU-15 ini,” katanya.
Azizul berkata demikian di Program Ramah Mesra Bersama Pemimpin di Kampung Stunggang Melayu Seberang, Lundu hari ini.
Menurut Azizul dengan memberi kemenangan besar kepada GPS, pembangunan yang dirancang akan dapat diteruskan selepas ini.
Pada masa yang sama tegasnya suara GPS akan lebih lantang di Parlimen membolehkan Sarawak dapat memperjuangkan hak dan keistimewaan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Bercakap mengenai nada kempen bagi calon GPS untuk Parlimen Santubong, Dato’ Sri Nancy Shukri di kawasannya, Azizul berkata pada pecutan terakhir hari ini jentera tetap digerakkan turun padang.
“Seperti program hari ini kita menghimpunkan empat Ranting PBB iaitu Ranting Kampung Stunggang Melayu Baru, Stunggang Melayu Seberang, Semunin Jaya dan Kampung Dagang untuk beramah mesra dengan calon
di Dewan Kampung Stunggang Melayu Seberang,” katanya lagi.
Seterusnya, Azizul mendedahkan perjalanan pecutan terakhir turut diadakan di Dewan Kampung Gerunggang bagi menemui enam Ranting PBB iaitu Ranting Kampung Gerunggang, Ranting Kampung Stunggang Dayak, Temelan Dayak, Kelaoh, Btg Embang dan Stunggang Ulu.
“Saya menyeru warga Tanjong Datu untuk turun beramai-ramai mengundi Dato Sri Nancy Shukri pada esok hari agar hasrat kita semua untuk memberi kemenangan besar kepada GPS akan tercapai,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azizul juga mengingatkan warga Tanjong Datu agar menjadikan tindakan kerajaan terdahulu yang membatalkan beberapa projek pembangunan di Sarawak sebagai pengajaran.
“Kita tidak mahu seperti apa yang berlaku 22 bulan ketika di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang telah membatalkan beberapa projek termasuk Jambatan Rambungan,” tegasnya.
Namun sekiranya kerajaan Sarawak pimpinan GPS tidak meneruskan pembangunan projek jambatan tersebut kata Azizul, warga Tanjong Datu tidak akan dapat menyaksikan ‘bayang-bayang’ tiang jambatan itu dibangunkan ketika ini.
“Ini adalah sebab mengapa kita mahu GPS lebih kuat pada PRU-15 esok, kerana selepas ini akan lebih banyak projek pembangunan untuk rakyat Sarawak yang disediakan oleh GPS,” tegasnya.
Program beramah mesra bersama pemimpin itu turut dihadiri calon GPS Parlimen Santubong, Dato’ Sri Nancy Shukri.