SARIKEI, 18 Nov: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tanjung Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab beriltizam untuk meneruskan usahanya melengkapkan kemudahan prasarana yang diperlukan oleh rakyat di kawasan tersebut.
Beliau mengakui sendiri perjuangannya belum selesai serta menegaskan akan memanfaatkan sepenuhnya pengalaman ketika pernah menjadi wakil rakyat di kawasan itu sebelum ini.
Malah, tegasnya perjuangan selepas ini sentiasa ke arah membela nasib rakyat Tanjung Manis serta tidak mengenal makna jemu.
“Saya akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan, dana tambahan dan projek daripada kerajaan pusat supaya dapat membantu membangunkan lagi kawasan parlimen Tanjung Manis sehingga setanding dan setaraf dengan kawasan di bandar lain,” katanya ketika ditemui media sejurus selesai kempen di Tanjung Manis hari ini.
Pelan pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan merupakan sebahagian usaha kerajaan menyediakan kemudahan terbaik kepada rakyat di kawasan itu dalam tempoh jangka panjang.
Perubahan yang berlaku hari ini bukan dalam sekelip mata sebaliknya melalui pelbagai fasa dan cabarannya yang tersendiri.
“Kepada pengundi baru yang berumur 18 hingga 21 tahun, yang mendaftar secara automatik, saya menyeru agar turun mengundi dan membuat pilihan yang betul.
“Kita bertanyalah kepada ibu dan bapa kita yang pernah mengundi, berpengalaman dalam memilih calon atau parti yang betul untuk menjadi wakil kita bagi lima tahun akan datang supaya kita tidak tersalah pilih kerana apa yang kita pilih hari ini adalah untuk masa depan kita,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau berkata momentum sokongan padu rakyat terhadap kepimpinan sedia amat penting.
Ujar beliau rakyat Sarawak memerlukan sebuah kerajaan kukuh dan stabil bagi melicinkan pelaksanaan projek sedia ada selain merealisasikan agenda pembangunan yang dirancang.-TVS