Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Rakyat di seluruh negara akan menunaikan tanggungjawab mengundi bagi menentukan masa depan negara esok. Foto Bernama.

PRU-15: Manfaatkan peluang ubah landskap politik negara

ByBernama

KUALA LUMPUR, 18 Nov: Perbualan dengan seorang rakan sekerja baru-baru ini membongkar “rahsianya” yang tidak pernah menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pengundi.

Berumur 48 tahun, ini bermakna wanita bernama Suriati ini sudah “terlepas” enam pilihan raya umum (PRU) sejak 1995 jika diambil kira usia layak mendaftar sebagai pemilih sebelum ini, iaitu 21 tahun.

Alasannya yang gagal mendaftarkan diri sebagai pengundi ketika berusia 21 tahun ialah leceh. Malah, ibu kepada tiga anak ini juga menganggap proses pilihan raya tidak begitu penting.

“Ketika itu saya fikir kalau saya pergi mengundi pun tidak ada apa yang berubah,” kongsinya dengan penulis.

Bagaimanapun, pendirian Suriati kini berubah 180 darjah. Dia tidak sabar untuk mengundi buat pertama kali esok, selepas didaftarkan secara automatik – hasil pindaaan undang-undang yang dikuatkuasakan pada Disember tahun lepas.

“… saya sudah bersedia nak mengundi. Saya rasa sudah tiba masanya untuk saya pilih siapa yang akan memerintah… kalau dulu saya terima dan berserah sahaja (siapa yang akan memerintah) sekarang tidak lagi,” katanya yang akan mengundi di kawasan Parlimen Bangi.

PENTINGNYA SATU UNDI

Suriati adalah antara 21.17 juta rakyat Malaysia yang akan memilih pada PRU15 ini, dengan lima juta orang merupakan pengundi kali pertama berdasarkan Daftar Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Angka pemilih meningkat sekali ganda berbanding 11 juta individu yang layak mengundi pada PRU14 susulan penurunan had umur layak mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran secara automatik.

Walaupun ramai pemerhati berpandangan ketidaktentuan politik yang membelenggu negara sejak empat tahun lepas akan menjadi pendorong  rakyat keluar mengundi esok, Dr G. Manimaran berpendapat senario sama juga berpotensi menyebabkan seseorang tidak mahu mengundi.

“Faktor empat tahun lepas adalah tempoh lesu iaitu satu situasi orang putus harapan dengan apa yang berlaku. Rakyat sudah mengundi, namun kerajaan berubah beberapa kali. Ibarat kemelut politik ini tiada kesudahan dan ia tidak membawa manfaat dan harapan kepada pengundi,” katanya kepada Bernama.

Biarpun begitu, Manimaran berkata, tempoh empat tahun tersebut wajar dijadikan iktibar yang mematangkan rakyat dalam memilih calon terbaik untuk mengemudi negara bagi penggal lima tahun akan datang.

“Jangan kecewa, kita kena keluar mengundi. Jadikan kekecewaan ini sebagai satu pengajaran dan sebahagian daripada proses demokrasi yang lebih matang. Rakyat kena proaktif dalam memilih kerajaan,” katanya.

Tegas beliau, setiap undi adalah sangat berharga, lebih-lebih lagi pada PRU kali ini yang menyaksikan persaingan sengit dengan kehadiran begitu banyak gabungan politik serta calon Bebas bertanding di setiap kawasan.

“Kira-kira RM1.01 bilion kita belanjakan untuk pilihan raya kali ini. Kalau dibahagikan dengan 21 juta pengundi, ini bermaksud setiap seorang membelanjakan RM48, jadi jangan kita bazirkan RM48 ini.

“Kalau kita buat undi rosak, ia akan merugikan proses demokrasi, jadi kita kena pilih parti yang ada. Kita kena bagi suara kepada parti yang kita pilih untuk tadbir urus dengan baik. Kalau kita bazir undi bermakna kita bazirkan makanan kita,” tegasnya.

TARIK PENGUNDI ATAS PAGAR 

Tidak menolak kemungkinan ramai pengundi atas pagar tidak akan keluar mengundi, Manimaran berpendapat manifesto yang jelas serta pendekatan yang diguna oleh parti bertanding dalam mendekati masyarakat, mampu menarik sekurang-kurangnya 40 peratus daripada pengundi.

Pandangan senada turut disuarakan penganalisis keselamatan dan politik daripada  Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA Dr Noor Nirwandy Mat Noordin yang membahagikan pengundi atas pagar kepada tiga kelompok.

Menurut beliau, kelompok pertama merupakan mereka yang lebih berpengalaman dan pernah mengundi.

Mereka ini katanya, akan kekal pasif dengan tidak keluar mengundi.

Kelompok kedua pula akan keluar mengundi namun membuat penilaian berdasarkan manifesto serta prestasi tiga kerajaan yang mentadbir sepanjang empat tahun lepas.

“Satu lagi golongan pengundi atas pagar adalah mereka yang ingin melihat kekuatan dominasi parti tertentu memimpin negara. Contohnya mereka yang masih mahukan dominasi politik Islam menjadi antara teras utama dalam kepimpinan negara akan cenderung memilih parti yang boleh berbuat demikian,” jelasnya.

Menurut beliau, segelintir pengundi atas pagar juga akan cenderung memangkah calon berdasarkan ‘poster boy’ atau calon perdana menteri yang diuar-uarkan oleh parti bertanding, manakala pengundi muda akan melihat kepada calon muka baharu yang popular. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan