KEPALA BATAS, 17 Nov: Seorang pelajar Kolej Komuniti Kepala Batas di sini nekad untuk berjalan dari kolejnya ke Kelantan kerana ingin mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada Sabtu ini.
Hasrat pelajar sijil Animasi 2D itu disedari oleh seorang pensyarahnya yang melihat Muhammad Haikal Noor Azmin sedang berjalan di tepi Jalan Bertam Indah 2 di sini kira-kira pukul 7 petang semalam.
Difahamkan, pelajar itu yang kelihatan keletihan sedang mengheret beg pakaian dan turut membawa beberapa beg lain dan sekaki payung.
Muhammad Haikal, 18, dikatakan membuat keputusan itu kerana tiket bas ke kampungnya sudah habis dijual selain mahu mengundi buat kali pertama.
Pengarah Kolej Komuniti Kepala Batas, Jasni Mohd. Yusof berkata, melihat kesungguhan pelajarnya itu, pihak kolej membuat keputusan untuk menghantarnya dengan kenderaan jabatan.
“Sumbangan turut diberikan oleh kakitangan kolej bagi memudahkan perjalanannya.
“Bantuan itu bertujuan untuk meringankan beban pelajar tersebut kerana dia merupakan anak sulung daripada lima adik beradik dan bapanya meninggal dunia ketika berusia 11 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – TVS