SIBU, 17 Nov: Jangan abaikan tanggungjawab mengundi untuk memilih calon yang benar-benar berkualiti dan mampu memperjuangkan masa depan negara.
Rata-rata pengundi yang layak mengundi di daerah ini berpendapat bahawa setiap rakyat Malaysia yang telah didaftar sebagai pengundi secara automatik bagi mereka yang mencapai umur 18 tahun harus tidak mempersia-siakan hak mengundi mereka.
Bagi Mathew Masing, 45, yang merupakan penjawat awam yang berasal dari Pakan, beliau berpendapat bahawa hak mengundi amat penting dalam proses untuk menentukan bakal wakil rakyat atau parti yang boleh menerajui kerajaan baharu dengan lebih efisien.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya mengambil peluang ini untuk sama-sama membuang undi bagi memilih parti politik yang mampu menentukan pemerintahan yang adil dan saksama.
“Mengundi adalah hak dan kuasa kita untuk memilih kerajaan atau pemimpin yang berwibawa serta bertanggungjawab bagi mentadbir negara dengan baik serta lebih berkesan demi menjamin pemerintahan yang adil,” katanya.
Beliau menambah tanggungjawab sebagai pengundi adalah untuk memilih calon untuk menjadi wakil rakyat atau kerajaan yang mampu merancang pelbagai strategi bagi memastikan ekonomi Malaysia kekal kukuh dan stabil.
“Sebelum memilih, kita perlu mengkaji sendiri bahawa calon itu mewakili parti yang mampu menang untuk menubuhkan kerajaan yang bakal mencorakkan ekonomi negara ke arah masa depan yang lebih baik.
Bagi Liew Tubow, 69, turut berkongsi pendapat bahawa mengundi adalah hak semua rakyat Malaysia kerana negara kita mengamalkan prinsip negara berdemokrasi dengan sistem perlembagaan yang berpaksi kepada doktrin kedaulatan rakyat.
“Jika kita tidak turun mengundi secara tidak langsung kita telah mempersia-siakan hak kita atau kuasa kita sebagai seorang warganegara Malaysia untuk memilih kerajaan,” ujarnya.
Katanya lagi, peluang untuk memilih kerajaan hanya lima tahun sekali dan 19 November ini rakyat diberi peluang mengundi sekali lagi untuk memilih calon yang difikirkan mampu memperjuangkan isu rakyat di Parlimen.
“Sebelum memangkah, harus berhati-hati dan fikir dahulu sama ada calon itu boleh membawa suara rakyat terutamanya yang berkaitan isu ekonomi, hak rakyat Sarawak (MA63) dan sebagainya,” tegasnya.
Manakala bagi Nick Soloon Antony, 23, yang bekerja sebagai penyelia tapak keselamatan berkata beliau akan menggunakan peluang sebagai pengundi baharu dengan bijak untuk memilih calon yang boleh membantu golongan muda.
“Kita mahu wakil rakyat yang dipilih giat dan aktif dalam membangunkan negara terutamanya dalam memperjuang kehendak golongan muda yang berkaitan dengan isu peluang pekerjaan, capaian internet, transformasi pembangunan infrastruktur dan sebagainya,” katanya.
Bagi Michael Beckham Raymond, 23 yang sedang melanjutkan pelajaran dalam jurusan kewartawan di UNITAR, Kuala Lumpur, beliau sangat teruja kerana diberi peluang untuk mengundi buat kali pertama.
“Kerajaan telah memudahkan kita untuk mengundi pada PRU ini kerana orang yang telah mencapai umur sah secara automatik didaftarkan untuk mengundi. Jadi, tiada alasan untuk kita tidak menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada pilihan raya ini.
“Selain itu, untuk kita menuju ke Malaysia yang lebih baik, kita mesti bijak memilih parti mana yang akan dipilih untuk pilihan raya tahun ini kerana seperti yang kita sedia maklum Perdana Menteri kita saling bertukar ganti beberapa kali dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini namun Malaysia tetap Malaysia.
“Jadi, adalah penting bagi kita untuk membuat perubahan dan memberi peluang kepada pemimpin parti yang lain contohnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan melihat sama ada beliau boleh membuat perubahan apabila beliau dipilih sebagai Perdana Menteri baharu,” katanya. -TVS