LAWAS, 16 Nov: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mahu Petronas menyiasat insiden letupan Paip Gas Sabah Sarawak (SSGP) di Jalan Long Ugui menuju ke Long Sukang dekat sini pada petang ini.
Menurutnya, Petronas telah memberi jaminan untuk menyiasat terperinci kejadian yang mengorbankan satu nyawa dan tiga cedera.
“Perkara ini begitu menyedihkan dan tidak boleh dipandang ringan. Saya menyeru supaya pihak Petronas menjalankan siasatan secara terperinci dan memastikan hal ini tidak berulang lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Berita berkaitan
Letupan paip gas di Long Ugui, seorang maut tiga cedera
Kebakaran saluran paip gas di Lawas berpunca kerja-kerja pihak ketiga – Petronas
Kebakaran SSGP: JKR arah hentikan sementara kerja pembersihan tapak projek jalan Sabah-Sarawak
Sementara itu, Residen Bahagian Limbang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Limbang, Sebi Abang menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi tentang kejadian itu.
“Penduduk sekitar juga dinasihatkan untuk tidak mendekati kawasan itu kerana khuatir perkara tidak diingini berlaku. Kami masih menunggu laporan bomba,” ujarnya.
Mangsa yang terkorban ialah Hadi Wiyono manakala tiga yang cedera Hendrick, Gabriel Meripa dan Jefry Paul.
Insiden itu membabitkan kebakaran satu jengkaut, satu jentolak, satu lori dan satu motosikal.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak menerima panggilan mengenai kejadian pada 2.49 petang. – TVS