MUKAH, NOV 16: Kebanyakan kawasan Parlimen di Sarawak sudah diisytiharkan sebagai kawasan putih, tetapi masih ada lagi yang perlu diperbaiki.
Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, beberapa kawasan yang ditandingi rakan seperjuangan parti komponen tersebut mendapat cabaran hebat dari pihak pembangkang.
“Kita masih lagi mempunyai beberapa hari untuk berkempen dan saya harap kita boleh mengatasinya, sememangnya kita mahu memenangi kesemua 31 kerusi parlimen seperti yang kita laungkan.
“Tetapi kita juga faham situasi realiti. Saya yakin, GPS boleh memenagi 25 hingga 28 kerusi yang dipertandingkan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis Segulai Sejalai di Dewan Masyarakat Balingian hari ini.
Berkenaan dengan kolaborasi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan, Nanta tidak menamakan mana-mana parti, tetapi hanya menzahirkan hasrat GPS untuk bekerjasama dengan kerajaan yang mementingkan rakyat daripada politik.
Calon GPS bagii Parlimen Kapit itu juga berkata, keputusan hanya akan dibuat selepas perhitungan undi selesai.
“Bergantung kepada rakyat untuk memilih siapakah yang akan menerajui aspirasi mereka, kita telah membuktikan keupayaan kita untuk menaik taraf kualti hidup rakyat di Sarawak ini.
“Salah satu inisiatif tersebut adalah Lebuhraya Pan Borneo Seksyen Selangau WPC08 yang baharu sahaja dirasmi dan dibuka kepada awam tempoh hari.” tambah Nanta lagi. – TVS