MIRI, 16 Nov: Fokus utama Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak ialah pembangunan mampan yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) oleh Pertubuhan Badan-badan Bersatu (PBB) yang akan membantu memulihkan ekonomi menjadi lebih kukuh dan berdaya tahan.
Kerajaan berhasrat untuk mengubah struktur ekonomi negeri dengan cara yang mampan, selain memodenkan dan meningkatkan kecekapan pembangunan didorong oleh ketersambungan digital dan fizikal.
Bagi mencapai matlamat ini, Datuk Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, Sarawak menjadi negeri pertama yang mempunyai dasar iklimnya tersendiri berdasarkan tiga sumber tenaga hijau semenjak Rancangan Malaysia Ke-12 (RM Ke-12).
“Tiga sumber tenaga hijau ialah kuasa hidro, tenaga suria dan hidrogen, sebarang penyelesaian kepada perubahan iklim yang terhasil daripada kongres ini boleh memberikan manfaat ekonomi, memperbaiki kehidupan dan melindungi alam sekitar,” katanya ketika Kongres Antarabangsa Mengenai Kesan Perubahan Iklim Terhadap Pertanian, Ekosistem Dan Kesihatan Manusia (ICCC 2022) di Hotel Marriot hari ini.
Ujarnya, dasar perubahan iklim Sarawak ini selaras dengan komitmen Malaysia bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan disesuaikan dengan kesan perubahan iklim.
“Dasar perubahan iklim Sarawak akan selaras dengan komitmen Malaysia untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan PCDS 2030 untuk pembangunan mampan bagi memastikan persekitaran yang bersih dan sihat.
“Selain daripada menghasilkan dasar negeri mengenai gas rumah hijau, kajian ini dijangka menyediakan pelan tindakan untuk mengurangkan dan menyesuaikan diri dengan kesan perubahan iklim,” katanya lagi.
Namun begitu, Adam Yii juga tidak menafikan perlaksanaan projek-projek pembangunan Sarawak akan datang bersama kesannya terutamanya kesan terhadap alam sekitar dan pemuliharaan biodiversiti.
Lantas, pembangunan mampan perlu diusahakan supaya masyarakat mempunyai masa depan yang lebih baik merangkumi pembangunan mampan alam sekitar yang bersih dan tanpa pembaziran dan pencemaran sumber yang berlebihan serta perlindungan sumber asli dan biodiversiti.
Kongres ICCC 2022 itu dianjurkan selama tiga hari bagi mewujudkan rangkaian dan platform ruang terbuka untuk pertukaran maklumat dan pengetahuan tentang inovasi baru dan aplikasi mereka dengan kepakaran yang berbeza dalam pertanian, alam sekitar, ekosistem dan isu berkaitan kesihatan.
Ia dianjurkan Sivaram Research Foundation, Bangalore, India dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA, Universiti Curtin Malaysia, Swinburne University Sarawak Campus dan Universiti Putra Malaysia (UPM) Bintulu.
Seramai 150 peserta dari pelbagai negara iaitu Sepanyol, India, Indonesia, Brunei, Singapura, Nigeria, Afrika Selatan termasuk Malaysia yang terlibat di dalam kongres ini. – TVS