KUCHING, 15 Nov: Kawasan geografi di Sarawak lebih sesuai dengan keadaan sosioekonomi dalam konteks membina rumah mampu milik yang kondusif.
Pensyarah Kanan Fakulti Alam Bina Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Awang Hasim Awang Sulong berpendapat, berbeza dengan kawasan di Semenanjung, Sarawak berpotensi untuk membina lebih banyak rumah mampu milik untuk golongan sasar.
“Mungkin dari segi urbanisasi di Sarawak dan Semenanjung Malaysia adalah berbeza di mana kawasan Lembah Klang contohnya mempunyai kepadatan yang tinggi menyebabkan perumahan puluhan tingkat terpaksa dibina.
“Faktor di Sarawak adalah lebih sesuai dengan keadaan sosioekonomi seperti yang saya lihat, konsepnya adalah ‘low density’ dan saya percaya ini adalah penyelesaiann yang terbaik berbanding di Semenanjung Malaysia,” katanya ketika menjadi tetamu Malaysia Decides terbitan TVS pada Selasa.
Mengulas lanjut beliau berkata, dari konteks pembinaan, aspek keharmonian komuniti juga perlu diambil kira bagi memberikan keselesaan kepada penduduk.
Beliau memberi contoh Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) yang menitikberatkan segenap aspek ciri-ciri pembinaan sesebuah unit rumah mampu milik tersebut.
“Standard keluasan yang ditetapkan Perumahan Kerajaan Tempatan di peringkat Malaysia adalah seluas 900 meter persegi dan saya rasa HDC membuat lebih daripada itu.
“Spektra Permata juga menyediakan tingkat bawah yang boleh digunakan untuk meluaskan ruang tersebut,” katanya lagi.
Tambahnya pemaju tidak harus memikirkan kepada keuntungan semata-mata sebaliknya, perlu lebih kreatif serta bijak mereka sesebuah unit rumah mampu milik untuk keselesaan penghuninya. – TVS