KUCHING, 15 Nov: Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) bersama kerajaan Sarawak bekerjasama untuk menyediakan nilai dan subsidi kepada pembeli rumah mampu milik di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), Mohamad Asman Ahmad, berkata, inisiatif pihaknya bagi memastikan rumah benar-benar mampu dimiliki.
“Walaupun berdepan dengan cabaran dari segi kreativiti, HDC sentiasa ada inisiatif ini,” katanya ketika ditemu bual di program Malaysia Decides terbitan TVS pada Selasa.
Memetik data daripada agensi di bawah Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, katanya kira-kira 39, 000 buah rumah telah dibina HDC sejak 50 tahun lalu.
Inisiatif itu merangkumi Rumah Spektra Permata (RSP), yang diperkenalkan pada 15 Februari 2017 oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,.
Jelasnya RSP disediakan untuk mengurangkan penghijrahan penduduk dari luar bandar ke bandar.
Menurutnya, harga rumah di bawah seliaan HDC adalah sekitar RM 50,000 hingga RM 165,000 iaitu bantuan dan subsidi dibolehkan atas usaha kerajaan negeri melalui penjanaan sumber kewangan yang baik.
“Ini menjadikan kita mampu menggerakkan program seumpama ini dan RSP di Skim Pengusahaan Kampung yang terletak di kampung tetapi pada masa sama mempunyai kemudahan seumpama di bandar.
“Ini aspek yang kita mahukan dan pada masa sama, tiada penghijrahan berlaku daripada generasi kedua ke bandar untuk mendapatkan rumah,” katanya lagi.
Menjelas lanjut, RSP merupakan rumah yang disediakan bagi golongan B40 dengan keluasan tidak kurang daripada 300 meter persegi.
“Kelulusan kita akan kurangkan tetapi dari kadar faedah adalah yang terbaik. Kerajaan negeri kita cajkan satu peratus setahun bagi golongan B40 dan maksudnya kepada ekonomi adalah akses kepada kewangan di mana milikan dan aset kepada pembeli tersebut akan meningkat,” ujarnya.
Sebagai contoh, katanya jika pembeli membayar pinjaman sebanyak RM250 sebulan untuk harga rumah RM150,000 sedangkan harga sebenar adalah RM300,000, dengan pinjaman sebanyak RM150,000 dan satu peratus kadar faedah, maka nilai mereka akan terkeluar dari kelompok B40,” katanya lagi. – TVS