Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.. Foto: PMO

Ismail Sabri beri komitmen selesaikan perkara tertunggak dalam MA63 secara berperingkat

ByBernama

SANDAKAN, 15 Nov : Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan komitmen beliau untuk menyelesaikan segala perkara yang tertunggak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) secara berperingkat.

Ismail Sabri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas MA63 berkata usaha itu bagi memastikan setiap perjanjian termaktub dalam MA63 dapat dilunaskan demi perubahan besar, termasuk di Sabah.

Beliau berkata banyak perkara telah dicapai menerusi jawatankuasa khas MA63, termasuk dalam aspek bayaran tunai petroleum daripada Petronas dan cukai jualan ke atas produk petroleum kepada negeri ini yang bernilai hampir RM5 bilion.

“Saya merupakan Pengerusi (Jawatankuasa Khas) MA63 yang bermesyuarat setiap bulan dengan Sabah diwakili Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor). Saya dah beri komitmen bahawa segala tunggakan yang belum selesai melalui MA63, kita akan selesaikan sedikit demi sedikit.

“Ini komitmen Kerajaan Persekutuan dan saya percaya dengan apa yang kita beri melalui MA63 yang kita laksanakan, Insya-Allah perubahan besar akan berlaku di Sabah,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra Perdana Menteri bersama rakyat Libaran di Program Perumahan Rakyat (PPR) Gum Gum di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri dan calon BN Parlimen Libaran bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) Datuk Suhaimi Nasir.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu Ismail Sabri berkata setiap bulan beliau bermesyuarat bersama Hajiji dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, membincangkan perkara-perkara  yang belum diselesaikan berkaitan MA63.

“Setiap bulan, kita (beliau bersama Hajiji dan Abang Johari) akan membuat ‘checklist‘ dari segi perkara-perkara yang belum diselesaikan lagi.

“Rancangan masa depan pun telah dibincang dengan pihak Negeri Sabah daripada segi mewujudkan syarikat yang berkaitan dengan penghasilan minyak (petroleum), ini supaya Sabah juga mempunyai pegangan di dalam saham yang berkaitan dengan penjualan minyak,” katanya.

Ketika ditanya sasaran menyelesaikan perkara-perkara tertunggak dalam perjanjian itu, Ismail Sabri berkata pihaknya tidak mempunyai sasaran spesifik, sebaliknya akan cuba sedaya upaya menyelesaikannya secepat mungkin. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan