Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

PRU-15: SPR keluarkan 365,686 kertas undi pos

KUALA LUMPUR, 15 Nov: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan sebanyak 365,686 kertas undi pos kepada yang berhak untuk mengundi secara pos pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata pengeluaran kertas undi pos itu dijalankan petugas pilihan raya di semua 222 kawasan Parlimen dan 117 DUN bermula 7 Nov lepas seperti diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

Katanya kesemua 365,686 kertas undi pos tersebut terdiri daripada 299,097 kategori Borang 1A melibatkan petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis, tentera, dan petugas media.

Sementara itu, sebanyak 48,109 undi pos bagi kategori Borang 1B melibatkan warganegara Malaysia yang berada di luar negara dan sejumlah 15,739 kategori Borang 1C melibatkan agensi dan organisasi serta 2,741 adalah pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

“Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran ejen undi pos daripada semua calon yang bertanding,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ikmalrudin berkata SPR mengingatkan semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikan kepada Pegawai Pengurus berkenaan sebelum pukul 5 petang pada Sabtu ini (19 Nov) iaitu hari mengundi.

Katanya pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan