KUCHING, 15 Nov: Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri hari ini mengumumkan sebanyak 10 kes perbuatan khianat di seluruh Sarawak direkodkan sepanjang 10 hari kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berjalan.
Menyifatkan angka kali ini sebagai kesalahan paling tinggi, beliau mendedahkan majoriti kes yang dilaporkan melibatkan kawasan Bandar Kuching dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana melakukan perbuatan khianat.
Setakat ini Mohd Azman berkata kesalahan khianat iaitu di bawah Akta 427 yang melibatkan perbuatan mencabut, mencuri dan membakar bendera merupakan kesalahan paling tinggi diterima.
“Kesemua laporan yang kami terima masih lagi dalam siasatan, namun begitu ia tidak mendatangkan apa-apa ancaman kepada ketenteraman awam dan semuanya dalam keadaan terkawal, “ katanya ketika ditemui pemberita semasa melakukan tinjauan proses pengundian awal di Dewan MES Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata yang menunaikan tanggungjawab membuang undi dan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Sri Fadillah Yusof yang hadir melakukan tinjauan di pusat pengundian tersebut.
Tambahnya, sehingga Isnin pihaknya telah menerima 48 laporan dan sebanyak 18 kertas siasatan telah dibuka yang turut melibatkan kes pencerobohan.
Walaupun situasi terkawal, Mohd Azman meninggalkan pesan kepada parti-parti yang bertanding supaya mengikut peraturan-peraturan yang telah digariskan oleh pihak berkuasa agar tiada insiden tidak diingini berlaku dan dapat menjamin kelancaran proses pilihan raya pada kali ini.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, sebanyak 2,053 permit telah dikeluarkan kepada calon dan parti yang bertanding setakat ini.-TVS