MIRI, 15 Nov: Proses pengundian awal Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 bagi kerusi Parlimen Miri bermula seawal jam 8 pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, sebanyak tujuh saluran di tiga pusat mengundi awal yang telah disediakan di kawasan Parlimen tersebut.
“Di kawasan Parlimen Miri ada tiga tempat dan tujuh saluran, di sini Ruai Kenyalang kita ada tiga saluran dan dua lagi di Batalion 12 PGA Miri dan dua lagi di Kem Sri Miri iaitu di Dewan Makan Pasukan ATM di Miri ini,” katanya ketika ditemui media di Bangunan Ruai Kenyalang IPD Miri hari ini.
Beliau yang merupakan antara yang terawal membuang undi awal di Ruang A Bangunan Ruai Kenyalang IPD Miri berharap agar proses pengundian awal ini berjalan dengan lancar sehingga selesai.
“Jadi saya berharap penugasan sepanjang hari ini akan berjalan dengan lancar sehingga penutupan pusat pengundi, ketiga–tiga pusat pengundi ini pada jam 5 petang nanti,” ujarnya.
Seramai 494 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Daerah (IPD) Miri turun melaksanakan tanggungjawab mereka mengundi awal pada PRU kali ini.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Miri, Abdul Rahman Taufik turut turun padang memantau proses pengundian awal di IPD Miri seawal jam 8:30 pagi.
Parlimen Miri menyaksikan pertandingan tiga penjuru iaitu calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Jeffery Phang Siaw Foong, calon Pakatan Harapan (PH), Chiew Choon Man dan Calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Lawrence Lai Yew Son. – TVS