Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Warga emas Muhammad Abdullah,94, tetap keluar memilih pada hari mengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini, walaupun uzur dan semakin dimamah usia. Foto: Bernama

Menghampiri usia seabad, Pokcik Mat tidak pernah ‘ponteng’ mengundi

CHUKAI, 15 Nov: Tidak pernah ‘ponteng’ mengundi dan sentiasa mengingatkan orang sekelilingnya agar keluar mengundi setiap kali adanya pilihan raya, membuktikan betapa ‘Pokcik Mat’ sangat faham akan tugasnya sebagai rakyat yang bertanggungjawab dalam menentukan tampuk kepimpinan negara.

Warga emas berusia 94 tahun yang nama sebenarnya Muhammad Abdullah itu berkata, tanggungjawab kepada negara tidak akan disia-siakan, justeru dia akan tetap keluar memilih pada hari mengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini, walaupun uzur dan semakin dimamah usia.

“Anak pakcik bekerja di Kuala Terengganu, jadi pakcik ingatkan mereka untuk datang bawa pakcik pergi mengundi apabila tiba harinya. Pakcik mengundi di sini sahaja (Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kuang),” katanya kepada Bernama di kediamannya di Bukit Kuang dekat sini.

Dalam pada itu, Pokcik Mat turut meluahkan rasa kesal dan terkilan dengan sikap segelintir anak muda, serta segelintir ‘orang tua’ yang hanya tahu ‘sembang kencang’ tentang politik tanah air, namun apabila tiba hari mengundi masing-masing hanya ‘tidur’ di rumah.

“Pakcik harap semua (golongan rakyat) akan keluar mengundi pada 19 Nov nanti. Penting kerana itu tanggungjawab kita kepada negara, kena undi untuk tentukan siapa bakal memimpin kita,” katanya yang merupakan seorang daripada 139,423 pemilih yang layak mengundi di Parlimen Kemaman.

Sementara itu di Jertih, seorang lagi warga emas, Wan Yah Wan Ya’akob, 98, dari Kampung Jabi turut teruja untuk keluar mengundi walaupun ada ketika tahap kesihatannya merosot termasuk penglihatan dan pendengarannya.

Berkongsi kisah mengenai semangat warga emas itu, anak bongsunya, Harun Md Deli, 62, berkata, dia tidak keberatan untuk membawa ibunya ke pusat pengundian jika kesihatan Wan Yah berada pada tahap yang baik pada hari tersebut.

“Pada PRU14 pun sayalah yang bawa mok (ibu) pergi mengundi. Walaupun kesihatan mok ada turun naik, tapi ingatannya masih kuat. Perihal mengenai perlunya keluar mengundi pun dia sudah tahu,” katanya yang akan mengundi di pusat mengundi Sekolah Menengah Jabi, kira-kira dua kilometer dari rumah mereka.

Harun berkata, usia sebenar ibunya mungkin sudah melebihi 100 tahun berdasarkan tanda bintang pada hujung nombor kad pengenalan dan dipercayai ibunya merupakan orang paling tua di kampung mereka.

“Orang dulu-dulu daftar kelahiran lambat. Mok tiada sakit kritikal dan masih boleh berjalan tapi perlu dipimpin, masih kuat beribadah dan dari segi pemakanan pula, dia hanya makan budu, ulam-ulaman dan ikan singgang dan minum hanya air suam,” katanya.

Menurut statistik daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dikemas kini sehingga 9 Okt lepas, sebanyak 922,856 pemilih di Terengganu layak mengundi pada PRU15. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan