MUKAH, 15 Nov: Kerajaan Sarawak mengumumkan 18 dan 19 November ini sebagai cuti umum sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Perkara itu diumumkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selepas menyempurnakan Perasmian Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak di Tanjung Manis hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memudahkan orang ramai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada 19 November selain membolehkan demokrasi berjalan lancar.
“Keputusan ini dibuat hasil perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob di Selangau, semalam, dan telah dirunding dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Abu Bakar Marzuki, ” katanya.
Katanya, ia bagi membolehkan orang ramai pulang mengundi tanpa halangan pada Jumaat, 18 November manakala 20 November adalah hari Ahad.
“Jadi tidak ada masalah untuk mereka bersedia kembali bekerja,” katanya.
Sementara itu, Pejabat Premier Sarawak menerusi kenyataan media memaklumkan 19 November turut diumumkan sebagai cuti umum.
“Ini adalah (cuti umum 18 dan 19 November) susulan pengumuman kerajaan Persekutuan semalam bagi memudahkan para pengundi turun mengundi,” katanya. – TVS