SRI AMAN, 15 Nov: Kaum wanita juga berupaya untuk menjadi pemimpin yang setanding dengan pemimpin lelaki, kata calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie.
Katanya, walaupun wanita dari segi fizikalnya tidak setanding lelaki, namun kekuatan mental serta cara pemikiran wanita tidak kurangnya dengan lelaki.
“Segalanya mengenai kesanggupan, segalanya mengenai keyakinan diri, dan segalanya mengenai keinginan untuk maju ke hadapan serta keinginan untuk berada di padang permainan yang sama dengan rakan-rakan lelaki,” jelas Doris.
Beliau berkata demikian kepada TVS sebagai reaksi kepada pandangan segelintir pihak yang masih lagi kurang yakin akan kebolehan seorang wanita dalam memimpin.
Kata beliau lagi, kira-kira 62 peratus pelajar di institut pengajian tinggi terdiri daripada golongan wanita dan ia adalah satu kerugian jika kebolehan seseorang wanita tersebut tidak diserlahkan.
“Kalau kita tidak memberi peluang kepada golongan ini untuk menjadi pemimpin, apa gunanya menghantar anak-anak kita ke sekolah.
“Kita sekarang berada dalam tahun 2022, jadi saya rasa mentaliti sedemikian tidak patut wujud,” ujar beliau. – TVS