SELANGAU, 14 Nov: Lebuhraya Pan Borneo Seksyen Selangau sepanjang 27 kilometer dan satu persimpangan bertingkat kini dibuka kepada pengguna.
Kementerian Kerja Raya menerusi satu kenyataan berkata dengan kos pembinaan RM588 juta, seksyen lebuh raya ini akan menjadi pemangkin pembangunan kepada kawasan Selangau, Mukah, Balingian dan Sibu.
Perasmiannya disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini. Hadir sama, Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof.

Seksyen Selangau ini mula dibina pada 1 November 2016 dan dibuka untuk kegunaan pengguna jalan raya pada hari ini.
“Projek di bawah peruntukan kerajaan Persekutuan ini mampu membantu melancarkan pergerakan trafik dari Sibu ke Bintulu.

“Selain itu, ia akan menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan sekitarnya contohnya Sibu, Selangau, Mukah dan Balingian dengan akses jalan raya yang lebih baik.
“Pelaksanaan projek ini juga merupakan bukti komitmen kerajaan Persekutuan dalam membangunkan rangkaian jalan raya sedia ada, secara lebih terancang, sistematik dan efisien,” katanya.