MIRI, 14 Nov: Kajian yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan penunggang motosikal dan belia lebih banyak terlibat dalam kemalangan maut di jalan raya di negara ini.
Oleh itu, situasi itu memerlukan langkah segera untuk program khusus bagi meningkatkan kesedaran dan menyediakan program pendidikan jalan raya, terutamanya kepada pengguna jalan raya.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, antara faktor utama yang membawa kepada situasi tidak selamat di jalan raya adalah sikap pengguna jalan raya yang tidak diingini, lantas masyarakat perlu mempunyai kesedaran mengenai kepentingan tingkah laku yang elok di jalan raya.
“Kita mendapat tahu dari pakar pengangkutan bahawa tingkah laku pengguna pengangkutan yang tidak diingini adalah salah satu faktor utama yang menyumbang kepada keadaan tidak selamat di jalan raya dan menyumbang kepada kesesakan jalan raya,” katanya semasa merasmikan Majlis Pelancaran Program Awareness Behavioural Change (ABC) di sini hari ini.
Program ABC tersebut ujarnya, bertujuan untuk memacu kesedaran keselamatan jalan raya dan perubahan tingkah laku pengguna jalan raya secara menyeluruh dan pada masa yang sama menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
“Melalui Program ABC ini, pendekatan pertama yang dijalankan oleh kementerian saya adalah untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya tentang kepentingan ‘kelakuan baik’ di jalan raya, supaya kita dapat mewujudkan jalan raya yang selamat untuk semua orang dan mengurangkan kesesakan lalu lintas dan kami memilih Miri untuk memulakan Program ABC ini.
“Program ABC bertujuan untuk memupuk perubahan tingkah laku dalam kalangan pengguna jalan raya berdasarkan kepada tiga perspektif; keselamatan jalan raya untuk pemandu dan pejalan kaki; kewaspadaan terhadap peraturan lalu lintas; dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam,” tambahnya.
Selain itu, dua buah jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Pengangkutan Awam dan Jawatankuasa Pengurusan Trafik diwujudkan di peringkat Bahagian Miri dan dipengerusikan oleh Residen sebagai saluran untuk mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Sarawak bagi mempertingkatkan kemudahan pengangkutan di Bandaraya Miri.
Pada masa yang sama, beliau turut mengumumkan Kementerian Pengangkutan Sarawak dalam proses merangka Pelan Tindakan Pengangkutan Bandaraya Miri untuk melaksanakan perancangan pengangkutan untuk Miri termasuk pendekatan yang lebih holistik dengan mengambil kira ekonomi bandar, kemampanan alam sekitar, keperluan pihak berkepentingan dan hala tuju pembangunan keseluruhan Sarawak.
Pelan ini menggariskan strategi pembangunan, hala tuju dasar, perundangan, rangka kerja pelaksanaan, program dan projek yang dijangka akan dimulakan tidak lama lagi setelah pelantikan perunding dimuktamadkan.
Segala langkah ini dilakukan bagi memastikan sistem pengangkutan bandar yang lebih efisien dan cekap bagi Bandaraya Miri.- TVS